Friday, October 29, 2010

"KAU EGO..."




"Lelaki memang ego!"
"Habis, perempuan tak ego?"

Siapa ego, siapa tidak, persoalan yang memang tiada kesudahan. Semua akan menuding jari ke arah satu sama lain sambil mengata "dia ego".  Kadang-kala saya berasa marah terhadap Dr John Gary kerana memilih tajuk bukunya Men From Mars, Women From Venus. "Hello Sir, both men & women came from the same planet la" I wish I can say that to his face. Geram.

Saya faham maksud Dr Gray. Secara fizikal kita jelas berbeza. Pemikiran kita juga berbeza apabila diambil kira hormon dan emosi masing-masing. Kerana perbezaan itulah, lelaki suka/menyintai/mendambakan wanita. Begitu juga sebaliknya.

“Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
 
Hakikatnya, Tuhan jadikan wanita dan lelaki dengan fitrah masing-masing. Namun, pada masa yang sama, disebalik perbezaan itu, baik lelaki mahupun wanita mahukan perkara yang sama. Kita mahu...

  • pasangan yang menghormati diri kita
  • pasangan yang menghormati keluarga, kawan dan semua perkara yang kita sayang 
  • pasangan yang menyayangi kita seadanya
  • pasangan yang mempunyai wavelength (visi, ideologi, konsep hidup, perancangan masa depan) yang sama dengan kita
  • pasangan yang mengambil berat hal ehwal diri kita
  • pasangan yang mempunyai nilai/budaya/cara hidup yang sepadan dengan kehidupan kita
Kemahuan ini sebenarnya satu keperluan yang dicari oleh kebanyakkan orang bujang. Amatlah TIDAK ADIL bagi masyarakat sekeliling menuduh orang bujang ini sebagai memilih apabila hakikatnya semua yang didambakan adalah perkara sama yang semua insan mahukan.  Adakah salah jika orang bujang mencari & memilih pasangan yang menghormati dirinya sebagai seorang lelaki/wanita?

Malah, orang bujang yang menggunakan kata-kata "susah nak cari lelaki/wanita yang baik sekarang, semuanya ego", juga TIDAK ADIL. Ego ialah personaliti seseorang. Bagi mereka yang sukar mengawal ego, ia akan terlahir dalam bentuk percakapan yang kasar, meninggi diri, angkuh dan sebagainya. Tetapi, bagi mereka yang sudah belajar mengawal ego, kematangannya terlahir dalam perbualan & gerak tubuh.

Menjadi Bujang OK, anda akan sedar bahawa perubahan yang utama dalam menemui pasangan yang menepati (kemahuan & keperluan) HANYA AKAN ditemui apabila anda berubah. Perubahan ini penting kerana kehidupan berumahtangga melibatkan pertimbangan pilihan yang lagi kompleks (kerana melibatkan pelbagai pihak lain).

Berubah menjadi diri anda yang terbaik semasa bujang, anda TIDAK AKAN RUGI apa-apa, malah kenikmatan hidup dapat dirasai sepenuhnya. Percayalah, pada janji Tuhan...

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)” (An-Nur 26)

Saya seru rakan-rakan bujang untuk menjadi diri anda yang terbaik. Rezeki (termasuk jodoh) ada untuk setiap yang berusaha. Insya Allah, usaha anda untuk berubah akan mendekatkan anda dengan rezeki-rezeki yang dicari. Doa saya semoga anda tidak berputus asa.

Mimi Salleh

Sunday, October 24, 2010

ANTARA KAWAN & 'KAWAN'?




Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan silaturahim iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah dengan nama yang paling disenanginya.” (Hadis riwayat Al-Tabrani).

"Kawan biar beribu, bercinta biar satu". Hari ini, peribahasa Melayu ini diungkap sama ada untuk mengiyakan keperluan mempunyai ramai kawan mahupun sebagai salah satu dialog standard kenapa seseorang perlu keluar (date) dengan ramai 'kawan'. Walau apa peribahasa dan walau apa pun alasan mempunyai ramai kawan, hakikatnya, kawan itu perlu dalam hidup kita. Mereka adalah:

  • tempat meluahkan 
  • tempat berkongsi (cerita/gelak ketawa/sedih duka)
  • tempat membentuk jati diri
  • tempat meminta nasihat
  • mentor
  • tempat berkasih sayang
Setiap dari kita mempunyai alasan masing-masing mengapa 'orang itu' yang menjadi kawan. Menariknya tiada satu formula khusus yang menentukan berapa lama atau berapa rapat seseorang sebagai kawan. Pernahkah anda berjumpa dengan seseorang dan terus sahaja 'klik'? Atau, pernahkah anda berkenalan dengan seseorang beberapa tahun, tiba-tiba minggu lepas sahaja yang 'klik'? Atau, anda mempunyai kenalan buat sekian lama, tetapi perhubungan itu kekal hanya sebagai kenalan?

Soal hati atau bila masa untuk 'klik' adalah sesuatu yang hanya Tuhan sahaja tahu. Walaupun kita wish seseorang menjadi kawan baik, 'klik' tidak boleh dipaksa. Ia hadir secara organik. Ada yang sekadar menjadi kenalan (hanya mengenali mereka sekadar nama & serba sedikit maklumat) dan ada juga yang gradually menjadi sebahagian dari keluarga. 


Apabila anda mengambil keputusan untuk berubah, pelbagai aspek dalam hidup anda juga turut berubah. Ini termasuklah 'jenis' kawan di sekeliling anda. Sesuatu yang sukar, namun perlu diterima dengan hati terbuka, sesetengah kawan akan 'grow out of love' apabila kita berubah.

Jangan bersedih. Bergembiralah juga kerana dengan perubahan itu, kita juga akan berjumpa dengan kawan-kawan yang mempunyai minat, matlamat dan kehendak yang sama. 'Kesekufuan' satu persahabatan juga berlaku secara organik.

Saya sentiasa percaya satu persahabatan adalah anugerah Ilahi. Justeru, melalui Bujang OK saya sering tekankan setiap bujang yang ingin berubah akan berjumpa dengan kawan-kawan yang juga Bujang OK. Malah saya percaya sesungguh hati, Bujang OK ini juga akan berjumpa dengan pasangan yang Bujang OK.

Oleh itu, berubahlah menjadi diri anda yang terbaik. Anda tidak akan rugi.

Mimi Salleh

Friday, October 22, 2010

BERKENAN, CEPAT-CEPAT SAMBAR

"jika kamu jumpa seorang wanita yang ada keempat-empat ciri terutama agama, cepat-cepat kamu 'sambar'. Itu cerita seorang rakan mengenai salah satu kelas pengajian syariahnya. Malah, katanya, ustaz yang mengajar memberitahu perkataan 'sambar' dalam bahasa arab umpama helang yang terbang tinggi dari langit menjunam laju lalu menyambar. Apabila mendengar si kawan bercerita dengan penuh semangat, tergambar betapa si helang yang gagah melebarkan sayap dengan mata tertumpu pada sasaran, lalu dengan sekali kibas, ia menguak sayapnya dan terbang laju menjunam ke bumi...

(Ketika itu juga, saya turut mengambarkan 'si helang' itu sebagai mana-mana lelaki bujang di Malaysia yang ternampak wanita yang memenuhi keempat-empat ciri tersebut dan umpama helang, mereka akan terus 'menyambar' wanita itu. Emmmm... no komen. Itu kena tanya orang bujang lelaki).

Bayangkan jika si helang yang berada di ketinggian 5000 kaki boleh ternampak rezekinya, seekor tikus, nun di bawah sana dan terus dengan "gagah melebarkan sayap dengan mata tertumpu pada sasaran, lalu dengan sekali kibas, ia menguak sayapnya dan terbang laju menjunam ke bumi...", mengapa kita sebagai manusia yang boleh nampak rezeki di depan mata yang berada kurang dari 10 kaki, tidak mahu cepat-cepat sambar?
  • malas?
  • tunggu orang lain?
  • tak tahu itu rezeki kita?
  • entah la?
Saya sekarang sedang membaca mengenai Business Acumen. Setakat ini, tidak ada definisi yang benar-benar tepat untuk menghuraikan perkataan ini. Apa yang boleh dikongsi, 'acumen' adalah keupayaan  untuk membuat keputusan dengan bijak dan pantas (the ability to make good judgments and quick decisions).Menurut ramai bijak pandai dalam bidang bisnes, business acumen sudah ada sedikit dalam diri semua orang dan kebanyakkannya boleh dipelajari. Namun, acumen bukan hanya untuk bisnes. Ia ada dalam segala-galanya yang memerlukan kita membuat keputusan.

Helang secara fitrah sudah mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan dengan bijak dan pantas dalam mencari rezekinya. Justeru, sebagai seseorang yang ingin berubah menjadi diri mereka yang terbaik, kita juga harus mempunyai keupayaan ini (acumen). Tetapi, bagaimana?

Semua penulis, ahli akademik, orang yang berjaya dan lain-lain bersetuju, bahawa gabungan:
  • ilmu yang dibaca
  • ilmu yang dipelajari dari pengajian di sekolah/universiti
  • ilmu yang dikutip dari pengalaman sendiri
  • ilmu yang dikongsi oleh seseorang yang lain 
  • ilmu yang dicari
.... membantu usaha meningkatkan keupayaan  untuk membuat keputusan dengan bijak dan pantas(acumen). Menurut John Dewey, kekurangupayaan membuat keputusan dengan bijak (lack of acumen) bukannya sebab kita bodoh atau 'bengap'. Tetapi kerana kita gagal menggunakan mental ability sepenuhnya. Beliau mencadangkan 4 perkara iaitu:
  • Change your self-identity
  • Interrupt your self-proclamation
  • Improve your vocabulary
  • Use your brain


 (sumber: http://www.about-personal-growth.com/intelligence.html)

Selagi kita perlu membuat keputusan dan semakin kita meningkat usia, kita perlu menjadi lebih bijak dan pantas dalam membuat keputusan (acumen). Menjadi Bujang OK ialah kita bersedia untuk belajar berubah untuk menjadi lebih baik. Kebijaksaan itu bakal membantu usaha kita memilih keputusan-keputusan yang tepat dalam hidup.

Doa saya semoga pilihan saudara/saudari menjadi diri anda yang terbaik dan menikmati hidup dengan cemerlang adalah keputusan yang memberi anda 'yang terbaik' dalam hidup.

Mimi Salleh

Wednesday, October 20, 2010

SIX DEGREE OF SEPARATION


 
 
Empat perkara (rezeki, ajal, amalan dan qada & qadar) sering disebut-sebut, terutama soal rezeki (termasuk jodoh). Ramai kata "jangan ditanya soal rezeki, itu urusan Tuhan. Tidak tersampai akal kita untuk memikirkannya". Bagi saya, soal bila dan banyak mana rezeki, saya selalu bersangka baik dengan janji Tuhan, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri," Surah Ar-Ra’d (ayat 11). 

Justeru, sepanjang saya menulis konsep Bujang OK, ayat itu sentiasa menjadi landasan pada prinsip-prinsip Bujang OK dan proses perubahan iaitu:

 
  • nak kaya, anda mesti berubah
  • nak disayangi orang, anda mesti berubah
  • nak dihormati, anda mesti berubah
  • nak menemui pasangan yang terbaik, anda mesti berubah
  • nak jadi Bujang OK, anda mesti berubah

Hanya melalui perubahan diri, kita akan (dan pasti) berjaya seterusnya Be the Best & Live Life to the Fullest. Namun, untuk berubah, "easier said that done..." 
  • Berapa ramai antara kita yang berkata nak jadi kaya, tetapi sehingga sekarang hutang di poket melebihi pelaburan?
  • Berapa ramai antara kita yang berkata nak jadi terkenal, tetapi sehingga sekarang hanya terkenal dalam facebook sahaja?
Dalam buku How to Get From Where You Are to Where You Want To be? Jack Canfield, tandakan A sebagai Di mana anda sekarang, dan B sebagai Di mana anda mahu berada (impian/matlamat). Kemudian buat satu garis menyambungkan dari A ke B. Kata Jack, apabila kita nampak arah tujuan yang ingin kita capai (B), cara (how) akan datang secara semulajadi.  Masalahnya, ramai antara kita tak sanggup menempuh perjalanan itu kerana laluan A ke B BUKAN seperti garis lurus!!

Saya minta maaf jika blog kali ini, sukar difahami. Cara saya membaca buku ialah melihat kaitan antara satu idea dengan idea yang lain. Ironiknya, semua perkara berkaitan.

Semalam, saya baru membaca mengenai six degree of separation. 



Idea asal six degree of separation yang dibawakan oleh Frigyes Karinthy mengatakan "sesiapa sahaja di muka bumi ini mempunyai paling banyak enam (6) langkah jauhnya dari seseorang lain (everyone is at most six steps away from any other person on Earth). Percaya atau tidak, idea 'kawan kenal si kawan yang kenal si kawan...' adalah asas kepada perhubungan media sosial facebook dan sebagainya. Kajian terbaru menunjukkan penggunaan Twitter memendekkannya pada 4 langkah (chup, chup, chup...saya bukan mahu bercerita mengenai media sosial).

Bayangkan dari idea ini (six degree of separation), ramai pakar telah membuat penemuan bahawa semakin dunia meluas, semakin kecil langkah yang diambil bagi seseorang yang mengenali seseorang lain, untuk mengenali seseorang yang lain (maaf la, memang ayatnya berbelit). Misalnya,

  • siapa yang anda kenal, yang kenal rapat dengan M.Nasir? 
    • Saya memerlukan 1 langkah (saya => kawan bernama X => M.Nasir)
  • siapa yang anda kenal, yang kenal rapat dengan Perdana Menteri Amerika Syarikat? 
    • Saya memerlukan 5 langkah (saya => kawan bernama X => Datuk bernama Y=> Setiausaha sulit PM Malaysia => PM Msia => Barrack Obama)
Walaupun secara realistiknya ia bukan semudah itu, tetapi hakikatnya langkah-langkah itu adalah laluan rezeki yang Tuhan janjikan. Rezeki saya untuk berjumpa Barrack Obama ialah 5 langkah kerana seseorang kawan saya berkawan rapat dengan Datuk Y yang kenal rapat dengan Setiausaha Sulit PM ... 

Cuba anda ambil masa seketika, dan cuba melihat laluan rezeki anda.... (letak tepi persoalan mengarut, poyo atau biar betul). Sekeliling kita adalah rezeki. Jangan sesekali kata, rezeki tak ade (ada, cuma lambat). Melihat segala di sekeliling sebagai rezeki memberi harapan bahawa apabila kita berusaha, rezeki akan dicapai.

Setiap kali saya melihat konsep-konsep yang telah dibuktikan melalui penyelidikan dan mengamalkan ia dalam hidup, saya sesungguhnya percaya pada janji Tuhan,  "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri,"

Melakukan perubahan tidak berlaku semalaman. Menjadi Bujang OK adalah satu impian untuk menjadi diri anda yang terbaik UNTUK diri anda sendiri dan bukannya untuk orang lain. Doa saya, semoga ukhwah kita sesama Bujang OK mampu memudahkan proses perubahan itu. 


Mimi Salleh

Tuesday, October 19, 2010

BICARA SANTAI BUJANG OK




Pernahkah anda mengalami perkara-perkara berikut...
  • ... buntu menghadapi klien yang asyik merungut?
  • ... mahu menjadi kaya, tetapi tidak tahu bagaimana memulakannya? 
  • ... mahu dikenali ramai tetapi malu? 
  • ... masih di universiti, tetapi mahu short cut untuk berjaya?

 Di awal 20an, saya selalu tertanya-tanya, bagaimana 'mereka yang lain' mencapai impian mereka? Rasa seperti “there is more in life, but what??"

Menjadi terbaik & menikmati hidup dengan cemerlang memerlukan panduan. Namun, ramai di kalangan kita (terutama orang bujang) terpaksa melalui perjalanan yang cukup jauh & sukar apabila kita mahu berubah. Kita terpaksa melalui...

  • tiada sesiapa yang mahu membantu usaha kita untuk berubah
  • orang ketawakan kita apabila kita mahu berubah
  • orang musnahkan harapan dan impian yang kita bina
  • orang perlekehkan usaha kita

Saya faham kerana saya pernah mengalami. Dan, ramai lagi orang di luar sana yang mahu berubah tetapi usaha mereka dikotak katikkan.

Jangan gusar mahupun bersedih. Ingin berubah, kita perlu KEKUATAN. Ia boleh hadir apabila kita berjumpa dan berada bersama dengan individu atau komuniti yang mempunyai 'desire' yang sama.

Saya jemput ANDA yang mahu berubah menjadi diri anda yang terbaik & menikmati hidup dengan cemerlang untuk menghadiri, preview topik-topik berikut dalam sesi Bicara Santai BujangOK:


 Bicara Santai Bujang OK akan diadakan di pejabat saya No 13 Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak
Tarikh
Tajuk
Masa
26 Oktober 2010 (Selasa)
Bujang OK Sure Kaya
8.30 – 9.30 malam*
30 Oktober (Sabtu)
Apa yang lelaki perlu tahu mengenai wanita?
3.00 – 5 petang
2 Nov (Selasa)
Impian bermula dengan Nikmat Mencapai Realiti
8.30 – 9.30 malam*
6 Nov (Sabtu)
Apa yang wanita perlu tahu mengenai lelaki?
3.00 – 5 petang
9 Nov 2010 (Selasa)
Anda boleh mencapai 1001 impian
8.30 – 9.30 malam*
13 Nov 2010 (Sabtu)
Mempunyai segalanya TANPA Dilihat Sombong
3.00 – 5 petang
 (* paling lewat sehingga 10 malam sahaja)

Saya hanya caj RM10 untuk pengurusan (ditambah dengan makan minum, peluang membuat jaringan dan peluang mendapat khidmat nasihat dari pakar yang berkaitan).


Pendaftaran awal 
  • Maybank 164799056448 (Mimizairul Murni Mohd Salleh)... yup itu nama penuh saya :)
  • email slip bayaran & maklumat ke bujang.ok@gmail.com (nama, email, facebook, hp)
Walk in
(please email ke bujang.ok@gmail.com untuk confirm tempat )

 
## TAWARAN ## 
Jika sesiapa yang ingin membayar terus untuk 6 sesi (RM60),  
PERCUMA mana-mana dua (2) buah siri Bujang OK bernilai RM50.

Tiada yang lebih bermakna dalam hidup saya, apabila semua orang (terutama orang bujang) menikmati bahagia. Doa saya, usaha kita untuk berubah dan menikmati hidup dengan cemerlang, dirahmati dan dipermudahkan olehNya.

Mimi Salleh

Sunday, October 17, 2010

PORTAL TEMU JODOH





 “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan hidup daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.”ayat 21 surah Al-Rum.

Sesungguhnya hidup berpasangan adalah suatu nikmat anugerah Allah s.w.t. Namun, ada di antara kita yang diuji dengan jodoh lewat. Insya Allah, masing-masing ada rezekinya (jodoh) bezanya hanya lambat atau cepat. Justeru, saya melalui Komuniti Bujang OK dengan rendah hati mewujudkan satu portal yang dinamakan 'TEMU JODOH'.
 
Ia akan dilaksanakan secara online. Proses memuat naik dan memperkemaskan sistem sedang dibuat sekarang. Sementara menunggu ia siap sepenuhnya, kami menggalakkan sesiapa yang berhasrat untuk mendaftar diri menggunakan borang yang disertakan ini. Berikut adalah proses mengisi borang TEMU JODOH:

  1. Isi borang di bawah ini
  2. Sertakan gambar terbaru
  3. email ke bujang.ok@gmail.com (subjek: TEMU JODOH)
Kami akan hubungi anda melalui email untuk diberikan kod TEMU JODOH masing-masing.

Nama sebenar, alamat, email, facebook, twitter, telefon bimbit, gambar yang disertakan dan No. K/P (dianggap maklumat peribadi) TIDAK AKAN disiarkan kepada umum. Hanya nama samaran dan selain sahaja akan dilihat umum melalui Portal TEMU JODOH. Insya Allah, maklumat peribadi anda HANYA AKAN diberikan kepada mereka yang benar-benar berhasrat berkenalan. Mereka akan mengisi satu borang lain yang dinamakan PASANGAN PILIHAN (itu akan dibuat di Portal TEMU JODOH).

Borang TEMU JODOH terbuka kepada sesiapa sahaja dari umur 23 tahun ke atas. Memandangkan ketelusan niat mereka yang mendaftar di TEMU JODOH ini diluar bidang kuasa, saya mohon keikhlasan semua pihak untuk berlaku jujur dan amanah. Harapan saya, ia jangan disalah gunakan.

Ikhlas, saya mendoakan (diri saya) dan kawan-kawan semua bertemu jodoh yang telah Tuhan janjikan. Diharapkan, dengan adanya TEMU JODOH, anda mampu berkenalan dan seterusnya menjalinkan ukhwah yang diimpikan.

Doa saya semoga Tuhan permudahkan usaha kita menemukan jodoh yang terbaik untuk diri, agama, keluarga dan masa depan kita. Amin.

Mimi Salleh


Friday, October 15, 2010

DERITA ITU PILIHAN, SUKSES JUGA PILIHAN





Tragedi 26 Disember 2004 adalah tragedi yang memberi impak bukan sangat pada negara-negara yang dilanda tsunami itu, malah kepada seluruh penduduk dunia. Bagi saya, tragedi tsunami membuat saya berfikir jika ia (tragedi) berlaku pada diri saya pada hari ini....
  • banyak lagi amalan yang belum dilaksana
  • banyak lagi impian yang belum dicapai
  • Apatah lagi, saya masih bujang, adakah saya akan diingati atau dilupakan terus seperti sesetengah mangsa tsunami?
Soalan yang sama ditanya oleh Stephen Covey dalam bukunya Seven Habits of Highly Effective People.

"... Now think deeply. What would you like each of these people to say about you and your life? What kind of husband, wife, father. or mother would you like their words to reflect? What kind of son or daughter or cousin? What character would you like them to have seen in you? What contributions, what achievements would you want them to remember? Look carefully at the people around you. What difference would you like to have made in their lives?"

Mengingati mati memang sebahagian usaha muhasabah diri sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbanyakkanlah olehmu mengingat perosak kelazatan, iaitu mati.” (Hadis riwayat al-Tirmizi). Tapi apa kita nak buat dengan 'kelazatan' hidup yang sedang kita lalui ini?

'Kelazatan' hidup ini yang saya mahu semua orang bujang nikmati bersama. Bujang OK bukan propaganda untuk hidup membujang selamanya. Saya sesungguhnya percaya kita mesti berusaha mencari rezeki (termasuk jodoh), tetapi urusan bila, bagaimana dan 'besar' mana, itu urusan Tuhan. Tetapi 'kelazatan' hidup kita hari ini adalah KAWALAN DIRI KITA SENDIRI!

Jangan sesekali memberi alasan atau menuduh orang lain atas kesengsaraan atau penderitaan yang anda alami (Encik Rizal Hassan menggunakan istilah Bangau-ing). ITU PILIHAN ANDA (siapa suruh pilih derita)!

Proses menjadi Bujang OK adalah satu proses anjakan/perubahan yang saya namakan Prinsip Bujang OK. Menjadi Bujang OK ialah membuat perubahan pada diri dari segi:
  • Sikapnya terhadap diri
  • Sikapnya terhadap lelaki dan wanita bujang yang lain
  • Memberi peluang kepada diri dan orang bujang lain untuk memahami antara satu sama lain
  • Perubahan personaliti ke personaliti yang lebih memikat
  • Menerima situasi diri yang masih bujang dari perspetif yang lebih positif
  • Perancangan masa depan terutama persediaan untuk hari tua

Menjadi Bujang OK tiada hari graduasi. Walaupun anda telah berkahwin, proses perubahan yang anda semai dari bujang akan terus bercambah dan seterusnya melahirkan generasi Bujang OK yang lebih mantap. Saya sering berkata, orang Bujang OK gerenti akan jadi Suami OK dan Isteri OK.

Dan, saya tegaskan penyataan ini dari dialog yang dipetik dari filem Good Will Hunting iaitu, "... it is not whether you're perfect or she's perfect but whether you're perfect with each other..."

Doa saya, semoga anda menemui pilihan  terbaik untuk menuju kejayaan.

Mimi Salleh

Thursday, October 14, 2010

MITOS LELAKI WANITA BUJANG






 Semakin saya mendalami konsep Bujang OK, didapati terlalu banyak anggapan/mitos/salah faham yang ditujukan kepada lelaki wanita bujang. Ironiknya, anggapan/mitos/salah faham ini juga berlaku sesama lelaki dan wanita bujang. Contoh ayat yang kita selalu/pernah dengar...

Mengenai wanita bujang:
  • Bila dah bekerjaya & berjawatan, they all jadi ego
  • Memilih sangat
  • Dia mesti pilih yang 'sekufu', sama tahap pendidikan, jawatan, gaji
  • Mesti dah tak reti masak
  • Mana ada lagi Perempuan Melayu Terakhir
  • Wanita zaman sekarang mengejar kerjaya dari rumahtangga
  • kering, tak de langsung sifat feminin 
  • (jika ada anggapan/mitos/salah faham yang anda pernah dengar atau ditujukan kepada anda, boleh kongsi di komen)

Mengenai lelaki bujang:
  • Lelaki bujang sekarang, pemalas
  • Susah nak cari lelaki yang baik... either they are married or gay
  • Mana ada lelaki baik sekarang ni, banyaknya mat rempit atau kat pusat serenti
  • ... mereka ni masih bergantung hidup dengan mak bapak
  • you percaya ke, mamat yang i jumpa semalam, umur 35, tapi motorsikal pun tak de
  • tak mancho, tak de langsung sifat maskulin
  • (jika ada anggapan/mitos/salah faham yang anda pernah dengar atau ditujukan kepada anda, boleh kongsi di komen)







Salah satu prinsip Bujang OK ialah bersangka baik (perubahan sikap) terhadap lelaki dan wanita bujang yang lain (ada 6 prinsip Bujang OK). Bunyi macam senang je...bersangka baik, tapi hakikatnya ia melibatkan perubahan sikap individu itu sendiri. Hakikatnya...

Wanita & Lelaki Bujang
  • masih ramai yang baik hati
  • masih ramai mempunyai ciri-ciri Perempuan Melayu Terakhir & Hero Idaman Malaya
  • masih ramai yang sedang mencari pasangan yang sederhana
  • masih ramai yang setiap tidur malam, memandang ke syiling rumah mengimpikan pasangan yang ditetapkan oleh Tuhan
 Tahukah anda statistik penduduk tahun 2000 menunjukkan terdapat lebih kurang 5 juta orang bujang di Malaysia (2.6 juta darinya lelaki)? Itu tidak termasuk duda dan janda. Malah statistik yang sama menunjukkan nisbah 1 wanita, 2 lelaki (1:2). Itu statistik 10 tahun yang lalu.

Saya seru, wanita & lelaki bujang untuk bersangka baik dengan wanita & lelaki bujang yang lain. Jika semua 2.6 juta lelaki bujang dan 2.4 juta wanita bujang mempunyai anggapan/mitos/salah faham sesama mereka, bilakah masa orang bujang ni nak bertemu jodoh?

Psstt saya nak bertanya satu soalan peribadi kepada lelaki dan wanita bujang...
  • berapa ramai lelaki bujang bila tengok TV sendirian, wish ada bini disebelah? 
  • Berapa ramai wanita bujang yang menyimpan rambut sehingga panjang semata2 untuk bakal suami? 
 Tiada seorang bujang pun di muka bumi ini, yang menadah tangan mohon Tuhan supaya TIDAK dijumpakan jodoh. Semua mohon ditemukan jodoh yang terbaik untuk dirinya, keluarga, agama dan masa depannya. Alangkah ruginya, hanya kerana anggapan/mitos/salah faham terhadap sesama bujang, ramai yang belum bertemu jodoh.

Di dalam setiap buku Bujang OK, saya menegaskan Bujang OK akan mendapat kawan Bujang OK dan tidak mustahil Bujang OK bertemu dengan pasangan yang juga Bujang OK.

Doa saya semoga perjalanan anda untuk berubah, dipermudahkan olehNya.

Mimi Salleh

Wednesday, October 13, 2010

JAWAPAN APABILA DITANYA, "BILA NAK KAHWIN?"

Soalan paling sensasi dan paling tipikal yang ditanya kepada orang bujang ialah "Bila nak kahwin?". Berikut disenaraikan beberapa pilihan jawapan. Anda mempunyai pilihan menjawab secara sarkastik, berhemah atau 'buat donno'...
 
"Bila nak kahwin?" Jawapan Sarkastik:
  • I dah lama minat kat husband you. Boleh ke?
  • Makcik sibuk2 apasal? Ada, saya sibuk2 pasal hal makcik?
  • Nak kumpulkan RM20 000, baru boleh kahwin. Makcik ada ke duit, saya nak pinjam?
  •  (sesiapa nak kongsi jawapan sarkastik, boleh tulis di bahagian komen)

 "Bila nak kahwin?" Jawapan Berhemah:
  • Belum rezeki lagi la, makcik
  • Insya allah tahun depan (walaupun anda tiada calon. Jika soalan seterusnya ditanya, "dengan siapa?". Jawab, "tak boleh nak beritahu lagi, sebab belum confirm tarikh")
  • Tak de calon, la makcik.
  • (sesiapa nak kongsi jawapan berhemah, boleh tulis di bahagian komen)
 
"Bila nak kahwin?" Jawapan 'buat donno':
  • senyum
  • sengih
  • buat-buat tidur
  • gelak sambil geleng kepala
  • gelak sambil letak jari telunjuk di bibir, sambil berbisik "shhh...biarlah rahsia"
  • (sesiapa nak kongsi jawapan 'buat donno", boleh tulis di bahagian komen)

Walau betapa panjang atau pendek skrip yang anda ada, orang disekeliling tidak akan berhenti bertanya "bila nak kahwin?". Bersangka baiklah, dengan pertanyaan-pertanyaan itu.

Anggaplah soalan itu sebagai:
  • tanda anda masih 'laku'. Lindsay lohan dalam satu temuramah pernah berkata, "...ada baik, buruknya paparazi. Sebagai selebriti, adanya paparazi yang berminat dengan cerita anda, menunjukkan anda masih laku dalam industri".
  • tanda masih ada orang yang ambil berat. Jika diamati, semakin usia meningkat, semakin kurang orang bertanyakan "bila nak kahwin?". Sementara soalan-soalan ini masih ada, nikmatinya (it reflect your age)
  • tanda anda masih 'diintai' untuk dimiliki. Jika kita percaya jodoh ada, terima soalan-soalan ini sebagai pembuka jalan untuk bertemu dengan jodoh yang telah dijanjikan.
 
Saya doakan semoga persoalan-persoalan ini tidak menghentikan anda dari be the best & live life to the fullest. Anda mempunyai pilihan. Dan, ini pilihan yang anda mesti buat untuk anda sendiri. 

Mimi Salleh

Tuesday, October 12, 2010

Apa Yang Andrew & Napoleon Sembang?


Andrew Carnegie
Pada tahun 1922, dua mat saleh, Andrew Carnegie dan Napoleon Hill duduk bersembang mengenai rahsia kejayaan dan kekayaan. Lebih kurang, dialognya berbunyi seperti ini:

“Eh, Andrew, macam mana kau boleh jadi kaya-raya?” tanya si Napoleon Hill. Jawab Andrew Carnegie,”Hah! Macam ni, ... aku akan ceritakan.” Si Napoleon Hill, mendengar penuh khusyuk sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Napoleon Hill
Bukan itu sahaja, selama beberapa tahun, Napoleon Hill membuat penyelidikan mengenai rahsia kejayaan orang kaya. Hasilnya pada tahun 1937, lahirlah buku hasil tulisan Napoleon Hill yang bertajuk Think and Grow Rich. Semenjak itu, rahsia kejayaan Andrew Carnegie telah dikongsi dan digunakan oleh ramai jutawan dan bilionair di serata dunia. Malah, idea dari buku Napoleon Hill telah diguna pakai oleh ramai penulis-penulis Barat (termasuk penulis-penulis di Malaysia... ehm... ehm termasuk saya) mengenai cara-cara menjadi kaya.

Jika sesiapa yang pernah membaca buku Napoleon Hill, anda pasti sedar buku tersebut tidak menerangkan mengenai aspek pelaburan, hartanah mahupun tip kewangan. Keseluruhan isi kandungan ialah mengenai satu rahsia yang semua boleh dipelajari. Rahsianya cukup mudah dan anda pasti menjadi kaya. Sudah bersedia mengetahui rahsianya? ...

~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~..~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.

Ini adalah petikan dari helaian pertama bab Formula Kaya dari buku Bujang OK Sure kaya (BOSK). Walaupun bab ini dinamakan Formula Kaya, ada lagi 2 bab yang dinamakan Formula Kaya II dan Formula Kaya III. Hanya melalui 3 formula ini sahaja, sesiapa saja boleh jadi kaya.

Ia memerlukan formula I+II+III => kaya.


Ia bermula dengan Formula I: Perubahan Minda, Formula II: Sikap dan Formula III: Habit. Semua yang lain adalah sokongan ke arah usaha menjadi kaya. Konsep seperti Law of Attraction (minda + sikap), Blue Ocean (minda + sikap + habit), Aladin Effect (minda + sikap), ESQ 165 (minda + sikap + habit) semua menjurus kepada formula yang sama. Bayangkan jika formula ini telah dibuktikan oleh sains, teknologi dan testimoni orang yang berjaya jadi kaya, apa lagi yang kita tunggu?

Apa komen ada mengenai kaya?


Dalam hidup, bukan kekayaan sahaja yang kita mahukan. Banyak lagi impian-impian yang boleh kita capai. Jika anda ingin berubah, jalan-jalan untuk berubah ada di sekeliling kita. Buka minda.

Mimi Salleh

Monday, October 11, 2010

BUJANG OK, SURE KAYA!

Pada tahun 2004, saya sudah memulakan usaha mencapai impian menjadi kaya. Apa yang menakjubkan, buku-buku yang saya baca menceritakan perkara yang sama:
  • Mesti mempunyai impian/matlamat/visi
  • Mesti mahukannya sepenuh hati (burning desire)
  • Pay yourself first
  • Multiple source of income (MSI)
  • Spend below your means

Sebahagian buku & majalah yang telah dibaca.
(kiri atas, majalah Forbes, Fortune dll; kiri tengah, buku self-help;        
kanan atas & tengah, semuanya mengenai self-help kewangan)    

Persoalannya, mengapa tak ramai menjadi kaya (terutama orang bujang)?

Saya pernah tanya soalan ini kepada seorang kawan, jawapnya senang...

"orang yang tidak mahu kaya sebenarnya malas bekerja - straight & simple"





Buku Bujang OK Sure Kaya! (BOSK!), adalah untuk orang bujang berusia 19 sehingga 45 tahun kerana saya percaya pada usia-usia ini...
  • anda sedang memasang pelbagai impian
  • anda mempunyai semangat yang berkobar-kobar
  • anda mampu bangun semula dari kegagalan
  • anda mampu menjalankan MSI
  • anda ingin berubah menjadi diri anda yang terbaik
Konsep yang saya ketengahkan adalah konsep yang telah diceritakan oleh semua self-help guru dari Fred J Young (How to Get Rich & Stay Rich), Thomas J Stanley (The Millionaire Next Door) sehinggalah ke penulis tempatan seperti Azizi Ali (Millionaire in Me dan Property Millionaire). Malah, kebanyakkan konsep ini telah dipermudahkan, apabila saya membaca majalah Usahawan Sukses, Forbes, Enterpreneur, Fortune dan Reader Digest.


Bujang OK, Sure Kaya!
 Saya sesungguhnya percaya semua orang boleh menjadi kaya. Di dalam buku BOSK juga saya menjelaskan makna kaya yang sebenarnya & paling penting kaya boleh berlaku jika anda bermula dari sekarang!

Antara bab menarik dalam buku ini:
  • Mengapa Orang Bujang Mesti Jadi Kaya?
  • Impian Bermula dengan Nikmat Mencapai Realiti
  • Tiga Skim Sure Kaya
  • Diri Anda Aset Terbaik untuk Jadi Kaya
  • Pilih Bujang OK Sebagai Kawan
  • Pilih Bujang OK Sebagai Pasangan
Saya gerenti sekali membacanya, anda akan dapati menjadi kaya cukup mudah. Malah, saya juga gerenti, sekali membaca BOSK!, anda akan faham semua buku-buku self help kewangan yang lain.


Sebarang cadangan/komen boleh nyatakan di blog ini atau email langsung ke bujang.ok@gmail.com atau anda boleh mendapat beberapa inspirasi dari youtube.com/bujangok

Doa saya semoga anda terus sukses selalu,

Mimi Salleh

Tuesday, October 5, 2010

Bujang OK, Hadiah Untuk Anda


Mimi Salleh
Salam perkenalan,

Pertama kali saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang melayari blog ini. Blog ini khusus untuk orang bujang yang ingin "Be the Best & Live Life to the Fullest". Semua boleh mencapai kejayaan dalam hidup. Paling penting ialah perubahan dalam diri.

Blog ini akan menempatkan buku terbaru Bujang OK, aktiviti, Produk dari Bujang OK dan juga perancangan masa depan.Saya mahu lihat setiap orang yang ingin berjaya, mencapai kejayaan masing-masing. Saya jemput anda untuk memeriahkan blog ini dengan berkongsi tip, pandangan dan juga sebarang aktiviti yang kita boleh buat bersama.


Siri Buku Bujang OK

Ajak kawan-kawan (terutamanya yang masih bujang) untuk sama-sama menjadikan Bujang OK sebagai tempat untuk kita sama-sama berjaya mencapai apa jua impian dalam hidup. Saya gerenti apabila anda memahami konsep Bujang OK, impian sure jadi realiti :)


Semoga perkenalan ini bukan hanya disini, saya mengalu-alukan sebarang komen, cadangan aktiviti dan apa sahaja yang kita boleh buat bersama. Doa saya semoga semua orang bujang sukses selalu.


Mimi Salleh


Logo rasmi Bujang OK yang sudah didaftar Trade Mark

PELAWAT