Wednesday, April 27, 2011

LEWAT KAHWIN JANGAN DICERCA

 Pada tahun 2004, semasa saya menulis buku pertama mengenai orang bujang, perangkaan menunjukkan pada tahun 2000 daripada 23 juta rakyat Malaysia, 13.2 juta belum pernah berkahwin (anggaran 7 juta lelaki bujang dan 6 juta wanita bujang). Saya cuba mendapatkan statistik terkini, tetapi belum ada. Pastinya statistik itu semakin meningkat apabila penduduk Malaysia meningkat (kini penduduk Malaysia melebihi 28 juta orang).

Rata-rata apabila membincangkan isu lewat kahwin...

... jari ditunding kepada wanita bujang:
  • "Awak memilih sangat"
  • "Awak dah tinggi sangat jawatan/pendidikan, mana lelaki nak"

... jari juga ditunding kepada lelaki bujang:
  • "Awak tak de karisma sebagai seorang lelaki"
  • "Awak tak de harta, mana perempuan nak"

Betul ke, semua wanita bujang memilih dan semua lelaki bujang tiada karisma? Membuat andaian sebegitu, bermakna kita generalize dan bersangka buruk dengan semua wanita dan lelaki bujang. Bukan semua wanita bujang memilih dan bukan semua lelaki bujang tiada karisma. Ini soal jodoh.

Namun, tidak dinafikan ada di antara orang bujang ini meletakkan piawaian yang terlampau tinggi. Ini disebabkan dua faktor iaitu ego dan ambivalen. Amat rugilah mana-mana orang bujang yang meletakkan piawaian pasangan pilihan yang terlampau tinggi. Akibat dari pilihan ini, mereka sebenarnya akan terlepas pandang ramai potensi pasangan. Rugi, rugi.

Disebalik orang bujang yang mempunyai piawaian terlampau tinggi ini, ramai lagi sebenarnya orang bujang yang bersederhana dalam memilih. Malah, mereka mempunyai ciri-ciri seorang suami atau isteri yang berkarisma, cantik/hensem, baik budi bahasa, taat pada keluarga dan paling penting sayang pada Tuhan. Cuma, jodoh mereka sahaja yang lambat. Menariknya, atas keyakinan akan janji Tuhan, "... perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik" (an-Nur: 26), mereka ini tidak berputus asa, malah mereka berazam untuk mengubah diri mereka menjadi lebih baik.

Sebagai masyarakat, kita seharusnya membantu dan bukannya mencerca orang yang masih bujang. Jika tidak mampu membantu secara fizikal, sekurangnya bantulah mendoakan mereka (orang bujang) ini bertemu dengan jodoh yang terbaik.

Malah, sebagai manusia yang mempunyai kelemahan, keyakinan si bujang pada Tuhan dalam menunjukkan jalan yang lurus lagi diredhai amatlah penting. Percayalah, "Allah tidak akan membebani hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan hambaNya" (Al-Baqarah :286). Justeru, keyakinan yang sama seharusnya diberikan dalam menghadapi ujian lewat jodoh. Anggaplah lewat jodoh sekadar ujian yang akan menaikkan tahap keimanan pada yang Esa.

Doa saya semoga Allah berikan yang terbaik kepada mereka yang benar-benar ingin merubah diri mereka menjadi yang terbaik. Percayalah pada janji Tuhan. Insya Allah, doa anda untuk bertemu pasangan pilihan  akan dimakbulkan. Amin.

Tuesday, April 19, 2011

8 ASPEK KEBAHAGIAAN HIDUP




Semenjak 11 tahun yang lalu, misi hidup saya adalah untuk menjadi the best I can be and live life to the fullest. Pertama kali saya menulis misi tersebut, saya sendiri tidak jelas bagaimana caranya untuk jadi the best mahupun untuk live life to the fullest. Namun, benarlah seperti yang dikatakan oleh Jack Canfield dalam bukunya iaitu, "If A is where you are now and B, is where you want to go, then it is just a straight line. Don't ask how to get there because the how will come when you know where you want to be". Malah, beberapa buku seperti The Secret, Millionaire Mindset, Awaken the Giant Within dan banyak lagi turut menekan betapa penting mempunyai misi dan visi dalam hidup.

Alhamdullilah, dalam tempoh 11 tahun ini, daripada pembacaan dan berkawan dengan individu-individu hebat, saya dapati, bagi menjadi diri yang terbaik, saya perlu seimbang dalam 8 aspek penting dalam hidup. Aspek ini merangkumi emosi, fizikal, spiritual, intelektual, kewangan, keluargakarier dan komuniti. Berikut dijelaskan setiap aspek (tanpa keutamaan). Ingin dimaklumkan penjelasan ini hanya berdasarkan pembacaan dan ilmu yang dikutip dari beberapa individu hebat yang saya temui. Saya akur, penjelasan ini ada kekurangannya.

Emosi
Selama ini, saya sering meletakkan diri terutama emosi  di tempat kedua. Saya beranggapan adalah selfish jika saya mendahului emosi sendiri berbanding orang lain. Namun, semakin dewasa, saya dapati, emosi diri sama penting untuk dijaga. Ia memberi impak pada penyerapan ilmu, ketahanan fizikal dan elemen-elemen lain dalam hidup. Pada masa yang sama, ilmu yang diserap mampu memantap dan mematangkan emosi semakin usia meningkat.

Fizikal
Ramai yang mengukur kebahagiaan dari simbol-simbol seperti aset yang dimiliki dan pada 'besar gelaknya' seseorang. Namun, betapa malangnya pada mereka yang mempunyai aset yang banyak dan 'gelak yang besar' tetapi kesihatan tidak pernah dijaga. Pemakanan, senaman dan pemantauan kesihatan amat penting untuk menikmati hidup yang cemerlang.

Spiritual
Tiga minggu lepas di satu kursus, kami ditanya perbezaan antara believe dan faith. Saya termanggu seketika untuk mencari perbezaan. Menurut penceramah itu, believe adalah apabila seseorang itu ditunjukkan bukti, barulah dia akan percaya manakala faith adalah tahap kepercayaan walaupun tanpa bukti, mereka percaya ia wujud atau sesuatu itu akan berlaku. Menyerap kata-kata itu, keyakinan kita pada janji Tuhan mengenai orang-orang yang sabar dan orang-orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan adalah kunci untuk ketenangan hidup di dunia dan keabadian hidup di akhirat.

Intelektual,
Intelektual bukan bermakna seseorang itu harus mempunyai sijil menggunung atau bercakap menggunakan bahasa tinggi. Meningkatkan kemahiran, membaca buku, berbual bicara dengan individu hebat dan belajar dari pengalaman diri sendiri adalah antara cara untuk meningkatkan intelektual.

Kewangan 
Jika ada yang berkata, "aku tidak mahu kaya, aku mahu hidup sederhana", dia hanya membohongi dirinya. Hakikatnya, hidup di dunia memerlukan wang. Malah, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berusaha untuk menjadi kaya untuk membantu lebih ramai rakan muslim di mana jua mereka beada. Justeru, mulalah melabur. Lagi muda lagi bagus.

Keluarga
Keseimbangan hidup juga harus meliputi keluarga. Mereka adalah kelompok terdekat yang perlu disayangi dan menyayangi kita.

Karier 
Kita juga harus memberi yang terbaik pada karier. Sebaik-baiknya, tugas yang dilaksanakan itu bukan berpaksi pada imbuhan semata-mata. Memang betul kita bekerja untuk mendapatkan duit, namun jangan jadikan duit sebagai satu-satunya tujuan kita bekerja. Kita mahu lakukan tugas itu dengan amanah dan sehabis baik. Barulah berkat duit yang kita dapat.

Komuniti
Hubungan baik dengan Allah harus seiring dengan hubungan baik sesama manusia. Ramai antara kita yang 'amat sibuk' bekerja sehingga terlupa bahawa kita hidup dalam komuniti masyarakat. Mereka adalah jiran, rakan sekerja, orang yang kita temui semasa menunggu bas, pembekal, rakan-rakan dalam facebook/twitter dan sebagainya.


Sekali pandang seperti "banyaknyaaa..." untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup. Namun, apabila saya temui individu-individu hebat, kebanyakkan mereka memiliki kelapan-lapan aspek ini dalam hidup mereka. Justeru, jika saya ingin mencapai misi becoming the best I can be and live life to the fullest, saya juga perlu seimbang dalam kelapan-lapan aspek ini. Saya menyeru rakan-rakan sekalian untuk sama-sama be best and live life to the fullest. Berubah menjadi diri kita yang terbaik dan menikmati hidup yang cemerlang, tiada ruginya. Malah, lebih manis dan berkat hidup apabila kita mempunyai kelapan-lapan aspek ini dalam hidup. Yuk! Kita mulakan hari ini :)

PELAWAT