Thursday, May 31, 2012

TRAVELOG 4-LIHAT KUCING DAN JENAZAH DI MEKAH

Kenangan Baby dan Spot besama anak masing-masing
Kawan-kawan facebook mungkin pernah nampak saya upload gambar kucing-kucing saya (album: Budak-budak Nakal). Saya bukanlah FANatik kucing... saya cuma suka kucing macam saya suka budak-budak.... suka tengok keletah mereka. Paling banyak saya pernah jaga ialah 11 ekor. Sekarang ini, ada 7 ekor (6 mati, kemudian datang 2 ekor entah dari mana).

Nak dijadikan cerita (hehehe... cerita dalam blog), sepanjang saya melihat gambar-gambar orang balik Mekah, tidak ada satupun gambar kucing yang diambil. Malah, semua yang balik dari Mekah akan menyebut, "banyak sungguh burung merpati...". Jadi, adalah logik jika soalan kucing di Mekah menimbulkan tanda tanya di benak saya, "Tiada kucing di Madinah dan Mekah, ke?"

Malah, beberapa hari sebelum saya mengerjakan umrah, soalan yang sama saya lontarkan kepada beberapa rakan... "hairan, tak pernah orang bercerita mengenai kucing di Madinah dan Mekah...". Namun, soalan hanya sekadar soalan dan bukannya obsesi.  Saya ada mendengar orang berkata, jangan minta yang bukan-bukan ketika di Mekah dan Madinah, nanti 'dapat tunai je'... jadi beberapa minggu sebelum mengerjakan umrah saya sentiasa mendoakan supaya saya dipertemukan dengan orang yang baik-baik dan perkara yang baik-baik sahaja..

Alhamdulillah, bagi saya pengalaman 12 hari pengembaraan umrah saya KLIA-Oman-Jeddah-Madinah-Mekah-Jeddah-Oman-KLIA, Allah beri saya yang terbaik. Ini termasuklah, diizinkan untuk melihat sebegitu banyak kucing dan diberi keinsafan apabila dilalukan di depan saya jenazah yang telah disembahyangkan.

Kucing pertama yang ditemui dalam pendakian Jabal Nur


Banyaknya Kucing
 2 hari di Madinah, saya terserempak dengan 3 ekor kucing dan sempat bermain dengan seekor daripadanya di kaki lima di luar Masjid Nabawi. Mungkin kerana kucing itu kucing liar, dia tak pandai bermain mesra. Mainnya kasar, habis tangan kiri saya berbekas cakar.

Kemudian, dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah, kami berhenti makan dan sembahyang di Wadi Yaman (makan nasi mandi). Masya Allah, disitu juga banyak kucing.
Terjumpa ibu dan anak kucing ini di puncak Jabal Nur

Di Mekah, subhanallah... setiap hari saya melihat kucing. Malah, paling menakjubkan, saya menemui 3 ekor kucing dalam ekspedisi pendakian Jabal Nur.... seekor di pertengahan jalan menuju ke puncak dan 2 ekor di puncak Jabal Nur (ibu dan anak).

Wallahualam... saya percaya kucing-kucing memang banyak berkeliaran di Madinah dan Mekah, tetapi disebabkan saya sudah membuka mata dan minda saya untuk melihat kucing maka itu satu kegembiraan untuk saya apabila menemuinya (orang lain mungkin tidak pernah terfikirpun mengenai isu kucing, ada ataupun tiada di Madinah & Mekah).

Jenazah Lalu di Depan Mata
Di Malaysia, saya boleh bilang berapa kali saya sembahyang jenazah. Di Madinah dan Mekah, setiap usai sembahyang fardu pastinya selepas itu sembahyang jenazah. Seorang rakan mengaji saya, Kak Kiah ada memberitahu bahawa jenazah yang di sembahyangkan di Madinah & Mekah dibaluti dengan kain hijau, coklat dan putih bergantung kepada jantina dan usia.

Mengimbas kembali, pada hari Rabu 16 Mei, saya dan Fuzah menghabiskan masa seharian bersama di Masjidil Haram. Kami mencari Babbu Salam, rumah kelahiran Rasullah dan melaksanakan tawaf sunat bersama. Selepas salah satu sembahyang jenazah, saya tersebut, "tak de cara ke untuk kita melihat jenazah yang disembahyangkan tu?". Fuzah geleng sebab katanya, orang ramai sangat. Okey lah... saya pun bukanlah mengharap sangat.

Keesokkan harinya, saya dan Jue berpuasa sunat hari Khamis. Strategi kami, duduk beriktikad di basement Masjidil Haram (kawasan saie aras bawah) dan hanya naik ke atas untuk sembahyang sahaja. Ingin dijelaskan, insiden ini berlaku sebaik kami selesai sembahyang zuhur dan solat jenazah.

Kami dalam perjalanan dari tempat sembahyang mengadap kaabah menuju ke laluan Babbu Salam apabila kami dengar bunyi hiruk pikuk dari sebelah kiri kami. Bunyinya, seolah-olah seperti polis trafik yang bergegas menghentikan laluan orang ramai jika ada pembesar negara akan melalui jalan tersebut... begitulah keadaan bunyi hiruk pikuk yang lama kelamaan semakin dekat dengan saya dan Jue.

Dalam tempoh kurang 30 saat, lalu laju di depan kami 4 jenazah yang dibawa pergi. Seorang bertutup dengan kain hijau, seorang dengan kain coklat dan 2 lagi hanya ditutupi kain putih. Saya sempat mengangkat tangan memberi salam kepada arwah-arwah yang lalu di depan saya.

Wallahualam... mungkin hanya kebetulan atau mungkin betullah apa yang orang cakap mengenai 'dapat tunai' setiap hajat ketika di Madinah & Mekah.

Apa yang saya pelajari:
  • bermuhasabah atas setiap insiden, pasti ada hikmah
  • Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Saya mendoakan agar insiden ini menjadikan saya lebih dekat kepadaNya dan semoga kawan-kawan yang membaca entri ini juga memperolehi hikmah yang sama di mana sahaja anda berada.

Wednesday, May 30, 2012

TRAVELOG 3 -HATIKU SAYU DI PUNCAK JABAL NUR

Selepas habis semua ziarah luar di Mekah, Haji Rodzuan ketua kumpulan bertanya kepada ahli-ahli rombongan umrah (10-22 Mei) apa lagi yang dihajati tapi belum tercapai. Ada yang berkata nak kucup Hajarul Aswad, nak ambil gambar di dalam Masjidil Haram beramai-ramai dan ada yang mahu mendaki Jabal Nur melihat Gua Hira'. Alhamdullilah, di akhir pengembaraan umrah, hasrat itu dapat dicapai oleh kebanyakkan ahli rombongan.

Setelah pulang ke Malaysia, baru saya tahu, betapa beruntungnya saya diizinkanNya untuk mendaki Jabal Nur dan sekaligus sujud di dalam Gua Hira'. Tidak ramai jemaah yang mampu berbuat demikian dan ia tidak termasuk di dalam pakej mana-mana agensi perlancongan umrah.

Hari itu, kami (12 dewasa dan 2 kanak-kanak) berkumpul di lobi hotel selepas sembahayang subuh dalam pukul 6.15 pagi dan menyewa sebuah van (tahan je di tepi jalan, banyak van sewa). Kami membayar 5 Riyal seorang (kanak-kanak free). Dalam 15 minit kami tiba di perkampungan di kaki Jabal Nur. Sepatutnya, van tersebut hantar kami sehingga betul-betul di kaki Jabal Nur... tapi pemandu minta kami turun di perkampungan anggaran 500 meter dari kaki Jabal Nur..., mungkin van tak de brek, entahlah.

Maka, kami pun mula menapak. Ya Rabb... itu belum mendaki lagi Jabal Nur, kami sudah mengah dan peluh mengalir deras. Bayangkan jalan menuju ke Jabal Nur landai dalam sudut 45 darjah... tanpa sebarang pemegang, kami menapak dengan menggunakan kudrat yang ada. Makcik Halimah dan Makcik Habsah surrender... mereka akan menunggu sahaja di sebuah kedai di perkampungan itu.

Rumah-rumah di perkampungan itu adalah tipikal rumah di Mekah, bentuk berkotak berdinding simen putih. Kami sempat ditegur oleh budak-budak yang bermain di laman. Di sepanjang pendakian sebelum sampai di kaki Jabal Nur, banyak kedai menjual souvenier. Kami berhenti seketika membeli jus... Saya dan Fuzah maintain di belakang sekali :p

Memulakan pendakian di kaki Jabal Nur, saya melafazkan Bismillah. Mendongak ke atas, tersergam Jabal Nur dan terdetik di hati, "I can do it!". Di hati tersemat keyakinan bahawa latihan larian (walaupun dah lama tak ke gym) dan pengalaman memanjat Bukit Tabur di Ampang akan membantu serba sedikit pendakian itu. Oh no.... it was tougher that it looks. Pendakian yang landai ditambah dengan bahang matahari yang semakin meninggi menyebabkan pendakian dibuat perlahan. Alhamdullilah dan syukur kepada hamba-hamba Allah yang menyediakan tangga (ala kadar).

Di kiri kanan bukit, banyak sungguh botol-botol kosong. Walaupun kesal akan pemandangan Jabal Nur yang dicemarkan dengan botol-botol dan tulisan-tulisan "Polan si Polan was here..." namun, itu hakikatnya. Saya melihat jam... "sudah 30 minit pendakian". Ya Allah, belum sampai separuh pun pendakian....

Ketika itu, saya dan Fuzah berselisih dengan seorang lelaki tua yang sedikit bongkok. Jika tidak salah, dia sama-sama memulakan pendakian dari kaki Jabal Nur bersama-sama kami tadi. Saya dan Fuzah saling berpandangan "kuat sungguh pakcik tu..." Saya berikan air jus yang sudah saya teguk separuh kepada Pakcik itu. Semoga bertambah bertenaga beliau mendaki, harap saya.

Mengenangkan lutut yang sudah menggeletar dan badan yang semakin letih mendaki, saya terbayangkan bagaimana Rasullah s.a.w mendaki Jabal Nur ini... ketika itu tiada tangga, hanya batu-batu besar... tiada air jus untuk menambah tenaga, hanya ada air zam-zam... hati saya semakin sayu. Saya juga teringat cerita Ustaz Heri (mutawwif) bagaimana Siti Khadijah r.a yang sudah tua turut memanjat Jabal Nur untuk menghantar makanan kepada suaminya... Aduh! Syahdunya.

Selepas hampir 50 minit mendaki, akhirnya, saya dan Fuzah tiba di puncak Jabal Nur (yang lain sudah tiba 10 minit lebih awal). Di puncak Jabal Nur sudah ada tempat duduk berbumbung dan orang menjual air dan jajan. Dari atas, saya ditunjukkan Gua Hira', gua yang menjadi sejarah awal turunnya wahyu dan dimasyurkan Muhamad sebagai Rasul terakhir.

Apabila kawan-kawan mengajak turun ke Gua Hira'... saya geleng kepala "Tak pe la...". Hakikatnya, saya mahu sembunyikan hati yang sayu, dari pengetahuan kawan-kawan. Cukuplah, cukuplah sayu hati saya membayangkan baginda mendaki sehingga ke puncak Jabal Nur.... Saya tak sanggup lagi membayangkan perjalanan Rasullah memasuki Gua Hira'.

Namun, kehendak Allah, tiada siapa duga....

Selepas 20 minit, semua ahli pendakian sudah memasuki Gua Hira', malah Nurin 10 tahun dan Ain 8 tahun juga berjaya masuk. Mereka riuh bercerita pengalaman mereka. Haji Rodzuan terus ke saya, "Hah! Mimi giliran awak sekarang... dah sampai kat atas ni, mesti masuk ke Gua Hira'".

Dengan hati yang berat, saya melangkah... Ketika itu, saya kawal hati supaya kuat. Namun, saya tidak menyangka laluan yang saya akan lalui menyebabkan hati saya bertambah sebak membayangkan ini laluan yang dilalui oleh Rasullah s.a.w ...

Dari puncak Jabal Nur, kita perlu turun sedikit ke bawah, anggaran setingkat bangunan memasuki satu rekahan. Rekahan itu hanya muat-muat seorang sahaja melaluinya. Jika lelaki itu besar, dia perlu usaha untuk meloloskan kepala diikuti oleh badan. Setiap orang yang melalui rekahan ini perlu berusaha meloloskan diri secara  memanjat ataupun mengesot. Rekahan celah batu besar ini berukuran 15 kaki panjang. Keluar dari rekahan itu, barulah ternampak lubang gua Hira'.

Malu untuk memberitahu, tetapi sepanjang berusaha meloloskan diri dari celah rekahan itu, airmata sudah mengalir. Sebaik keluar dari rekahan dan ternampak Gua Hira, airmata yang mengalir berselang-seli dengan sendu. Betapa sunyinya Rasullah s.a.w mendaki Jabal Nur, melalui rekahan dan berkhalwat di Gua Hira' seorang diri.... semata-mata kerana memikirkan keadaan masyarakat di Mekah.

Gua Hira' kecil sahaja, hanya boleh muat 2 orang, di muka pintu gua. Ketika saya tiba di hadapan Gua Hira' sudah ada anggaran 25 orang menunggu giliran untuk masuk sembahyang di dalam. Wanita ada dalam anggaran 10 orang... disitu masih berasak-asak seperti di hadapan Hajarul Aswad cuma lebih teratur... saya perlu menunggu giliran sekitar 15 minit.... Memandangkan saya tiada wuduk, saya hanya akan sujud.

Meletakkan dahi ke lantai Gua Hira' suasana yang bising, sunyi seketika (Jue pun beritahu perasaan sunyi yang sama). Saya sujud sambil membaca Al-fatihah dan Surah Al-Ikhlas.

Saya syukur dapat merasai sujud di Gua Hira' dan dengan setiap air mata saya yang mengalir di puncak Jabal Nur... dengan setiap sendu ... dan dengan setiap dengup jantung saya mendaki dan menuruni Jabal Nur, saya semakin menyayangi Rasullah s.a.w dan Khadijah r.a.

Doa saya semoga, Allah kekalkan istiqamah saya dalam ibadat dan semoga kawan-kawan yang membaca entri ini juga dapat menjejakkan kaki di Jabal Nur. 


sewa van 5 riyal seorang (total 10 riyal pergi balik)
menapak dari perkampungan... fuiihh mencabar
budak-budak bersorak bila kami lalu
sudah 3 per 4 perjalanan untuk ke puncak Jabal Nur
lelaki tua ini (hujung kanan) sama-sama naik dengan kami
berehat seketika di puncak Jabal Nur
gunung sama didaki, lurah sama dituruni :)

masing-masing beratur untuk sujud atau sembahyang di Gua Hira'

Monday, May 28, 2012

TRAVELOG 2 - MENJAGA ORANG TUA DI MEKAH, SATU AMANAH

Beberapa minggu sebelum berangkat mengerjakan umrah, doa saya yang utama adalah untuk dipermudahkan urusan umrah dari mula sehingga akhir. Saya juga memohon untuk ditemukan dengan perkara-perkara yang terbaik sahaja.

Beberapa hari sebelum pergi, hati berbaur antara gembira, teruja dan gusar. Terdetik di hati, "agaknya macam ni la perasaan bakal pengantin... suka sebab ini pengalaman terindah tapi gusar sebab ia hadir bersama tanggungjawab...". (hehehe... sori guna metafor pengantin, tapi itu je yang dapat digambarkan). Malah, semasa mencium tangan mak abah pada malam 9 Mei (sebelum berangkat ke rumah Jue di Salak Tinggi), perasaan yang sama semakin dirasai.

Di KLIA, kami (saya, Jue dan Shala) bertemu dengan mahram yang diatur iaitu Haji Rodzuan. Kami bertiga memang dari awal sepakat untuk tinggal sebilik dan mengharapkan mahram yang sama.  Selepas taklimat kumpulan, Faizah, pegawai Andalusia memperkenalkan kami dengan Makcik Noraini. Dia teman sebilik kami (sebilik empat orang). Memandangkan, ini kali pertama Makcik Noraini ke luar negara sendirian anak-anaknya cukup risau. Berkali-kali diulang, "tolong jaga emak kami, ye...". Kami bertiga angguk dan memberi jaminan akan jaga emak mereka sepanjang perjalanan itu.

Shala, Jue dan Macik Noraini, di dalam Masjid Nabawi
Maka, di dalam flight Oman Air pergi dan balik juga sepanjang acara ziarah di Madinah dan di Mekah, kami mengatur susun duduk.... Shala dengan Jue, saya dengan Makcik Noraini. Malah, kami berusaha juga untuk berjalan dalam atur yang sama... semasa tawaf, berjalan ke masjidil haram mahupun jika membeli-belah. Cuma di hari-hari terakhir sahaja aturan berubah sama ada disebabkan saya berpuasa atau Jue ingin menghabiskan lebih masa di masjid membaca Al-Quran. Jika itu berlaku Shala akan bersama Makcik Noraini.

Namun, beberapa kebetulan yang berlaku sebelum ini tiba-tiba saya sedari ketika saya bersama Fuzah (pada Rabu, 16 Mei. Hari itu merupakan hari ketiga kami di Mekah. ). Usai sembahyang Isyak, di laluan Saie aras bawah, saya dan Fuzah menaiki tangga untuk ke dataran kaabah bagi melakukan tawaf sunat. Di pertengahan tangga, kami terserempak dengan seorang wanita tua sedang menuruni tangga. Hasrat kami terhenti seketika.... kami bantu wanita tua itu menuruni tangga dengan selamat. Selamat turun, dia mengucapkan sesuatu dalam bahasa ibundanya (tak tahu bangsa apa).

"Masuk yang ini, dah ada beberapa orang tua yang saya bantu..." luah saya tanpa berfikir kepada Fuzah. Apabila difikirkan semula, "a'ah yelah...". Saya senaraikan insiden tersebut:

1. semasa di masjid Jaranah, bermiqat untuk mengerjakan tawaf ke 2
Ketika itu, kami baru menziarahi Jabal Rahmah dan menuju ke Masjid Jaranah untuk bermiqat. Saya teringat seorang makcik yang saya temui di Madinah 2 hari yang lalu. Entah kenapa, saya teringat kepada beliau sedangkan kami hanya bersembang sekadar 5-10 minit sahaja. Setiba di masjid Jaranah, kami terus mengambil wuduk. Keluar dari tempat wuduk, saya terlihat seseorang yang familiar. Eh, Makcik dari Madinah... Saya menegur beliau. Rupanya beliau tak tahu di mana tempat solat. Saya menemani beliau turun tangga sehingga ke tempat solat (Makcik Noraini ada bersama). Selepas solat, saya menghantarnya ke bas (berlainan group). 

2. semasa tawaf sunat usai sembahyang subuh
Saya dan Jue sudah memasuki pusingan ke 6 apabila kami terserempak dengan 3 wanita tua dari Malaysia (agaknya) sedang mengelilingi kaabah. Kesian sungguh. Makcik paling tua, memegang telekung si kawan. Kecil sahaja badannya dengan sedikit bongkok.... kerana asakan dari jemaah lain yang sedang tawaf, kadang-kala pegangan si makcik terlepas daripada kain telekung si kawan. Spontan, saya mengambil tempat di sebelah kiri makcik-makcik bertiga, Jue di sebelah kanan. Saya dan Jue mengepung makcik bertiga itu dari tolakan orang terutama ketika di laluan Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Apabila kami hampir ke pusingan ke 7, saya bertanya, "Makcik ada berapa pusingan lagi?" ... "ada satu lagi..." jawapnya perlahan. Saya pandang Jue, Jue beri signal, "kita teman makcik sampai habis...". Alhamdullilah kami teman makcik bertiga sehingga selesai.

3. Selepas tawaf sunat, sebelum zuhur
Waktu itu cukup panas, saya baru habis tawaf sunat berjalan menuju ke dalam Masjidil Haram. Sudah hampir pertengahan tangga apabila ternampak, sorang wanita tua di anak tangga pertama baru turun dari kerusi roda. Menggeletar lutut beliau. Saya papah sehingga ke atas.

4. Selepas isyak, hendak mengerjakan tawaf  sunat (insiden bersama Fuzah)

5. Di Jabal Nur, menuju Gua Hira' 
Kebetulan, saya dan Fuzah pendaki yang paling 'amatur'. Kami dibelakang sekali. Ada seorang tua yang sama-sama naik dengan kami. Sudah hampir bongkok 3. Subhanallah... semangat beliau untuk naik sehingga ke atas cukup kuat. Saya hanya bantu berikan air jus dan tunjukkan jalan ke Gua Hira' apabila dia sudah sampai ke puncak.

6. Usai tawaf wida' (hanya buat 6 pusingan dulu sebelum sambung selepas zuhur)
Saya baru hendak naik tangga apabila terserempak dengan wanita tua yang juga mahu naik. Dipapah naik. Anaknya menunggu dengan kerusi roda di tangga atas.

7. Makcik Noraini
Seperti diceritakan di awal, Makcik Noraini adalah amanah yang diberikan oleh anak-anaknya untuk dijaga. Alhamdulillah, sehingga hari terakhir, kami penuhi amanah itu. Kegembiraan pulang ke tanahair semakin terasa. Dalam flight Oman Air yang menuju ke Malaysia, terdetik di hati "nak kenalkan adik-adik dengan kawan-kawan umrah masa di KLIA nanti...". Namun, perancangan Allah, hanya Dia yang tahu... Beg Makcik Noraini hilang!

Kapal terbang mendarat jam pukul 9.01 malam. Kami tiba di tempat tuntutan bagasi jam 9.30 malam. Kami (saya, jue dan shala) hanya confirm kehilangan beg apabila conveyor berhenti dan beg sandang andalusia kepunyaan Makcik Noraini masih tiada. Ketika itu, kawan-kawan mula mengucapkan selamat tinggal dan keluar dari kawasan itu. Saya lihat jam sudah pukul 9.45 malam. Kami bergegas ke tempat untuk membuat laporan. Jue dan shala juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Hanya tinggal saya dan Makcik Noraini. Akhirnya, report dibuat dan kami keluar lebih kurang jam 10.30 malam. Malam itu, tiada rezeki untuk saya memperkenalkan adik-adik saya (Surya dan Ira) yang datang menjemput kepada 'keluarga-keluarga baru' saya sepanjang 12 hari itu. Hanya Makcik Noraini dan keluarga yang menemui adik-adik saya.

Pengalaman membantu orang tua sepanjang saya mengerjakan umrah memberi keinsafan bahawa:
  • ukhwah fillah tidak mengenal usia, bangsa dan tidak mengharapkan balasan
  • Allah mengetahui apa yang terbaik untuk diri
  • saya telah melihat blessing is being disguised in so many forms
Saya mendoakan semoga Allah terus memberi kecantikan hati kepada saya untuk terus membantu orang di sekeliling. Kita hidup hanya sekali. Hubungan kita dengan manusia juga menentukan hubungan kita dengan Allah. 

Bersama Makcik Noraini, di luar Masjid Nabawi

Sunday, May 27, 2012

TRAVELOG 1 - PUASA DI MEKAH

Sebulan sebelum mengerjakan umrah, terdetik di hati betapa beruntungnya jika dapat membuat umrah ketika bulan Ramadan. Bagi hamba yang banyak dosa seperti saya, pahala dan keberkatan dengan gandaan yang tak terkira apabila berpuasa di bulan Ramadan di Mekah amat mengujakan. Tapi, saya sedar, jemputan Allah untuk saya mengerjakan umrah di bulan Jamadil Akhir juga satu peluang yang harus saya syukuri. Ketika itu, saya berniat untuk berpuasa sekurang-kurangnya satu hari di Mekah, bagi merasai bagaimana rasanya berpuasa di Tanah Haram.

Bersahur
(Dipendekkan cerita, nanti entri lain akan cerita detail mengenai perjalanan) Selepas 2 hari di Madinah, kami bertolak ke Mekah pada hari Ahad, 13 Mei. Berhenti sebentar untuk bermiqat di Bir Ali (niat umrah di sini) sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki bas yang mengambil masa anggaran 5 jam. Memasuki bandar Mekah, hati sudah sebak. Melihat jam besar di Hilton (di kakinya adalah Masjidil Haram), hati sudah berdebar. Kami check in di Thawart Monsia Hotel pada pukul 10 malam. Bagi memastikan semua jemaah (terutama wanita) dapat mengerjakan umrah fardhu, maka mutawif minta kami turun segera ke lobi pada pukul 11 malam.

Kami berjalan kaki agak lama kerana hotel terletak anggaran 700meter -1km dari Masjidil Haram. Setiap langkah, debaran dan sebak semakin menguit rasa. Di sebalik runtuhan bangunan di kiri dan kanan jalan (pembinaan banyak sungguh di sekitar masjid), susuk bangunan Masjidil Haram mula kelihatan. Air mata mula bergenang. Selepas taklimat ringkas oleh Mutawif di dataran Masjidil Haram, kami mula melangkah masuk melalui pintu King Aziz (pintu 1)...

Subhanallah... seperti merindui kekasih yang lama tak ketemu, air mata yang bergenang berlimpah menderu sebaik melihat kaabah. Lima bulan lamanya saya menonton Makkah Live di Youtube... menonton orang tawaf mengelilingi kaabah usai beratus kali, rupa-rupanya it was not the same. You have to be there to really, really, really feel it. The 1st feeling melihat ratusan jemaah mengerjakan tawaf mengelilingi kaabah and to actually see kaabah in front of you adalah satu perasaan yang sukar dijelaskan...

Alhamdulilah umrah fardhu berjaya saya habiskan dalam masa 3 jam. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Saya ada bertanya mutawif jika mahu berpuasa, imsaknya sebelum pukul berapa.. "pukul 3.30 pagi" katanya. Beberapa jemaah wanita berpakat untuk tidur di masjid sahaja memandangkan subuh akan masuk pukul 4.15 pagi. Berbatalkan lengan, saya tidur. Alhamdullilah, tutup mata je, saya terus tidur dan dikejutkan semula pada pukul 3.15 pagi.

Jue (kiri) dan shala, sedang menikmati nasi mandi.
Di bilik hotel, sebenarnya, ada nasi mandi berlauk ikan dan ayam, baki makanan kami semasa dalam perjalanan. Cadangnya itu akan menjadi makanan sahur nanti...rupa-rupanya, itu bukan rezeki saya. Saya hanya bersahur dengan dua cawan air zam-zam di Masjidil Haram.

Selepas subuh, kami kembali ke hotel. Hehehe... kami sesat dalam perjalanan pulang sebab tersalah masuk lorong... alhamdulilah, nasib baik muka memang muka tak malu bertanya, seorang Pak Arab tunjukkan jalan :)

Letih Melampau
Balik di hotel, saya masih bertenaga. Selepas settle in, kami bersiap awal untuk ke masjid semula kerana Zuhur masuk pukul 12.15 tengari. Ketika itu matahari sudah meninggi dan bahang terasa perit di pipi. Teman sebilik mencadangkan, "kita duduk di kawasan masjid yang berdekatan dengan kaabah...". Ingin digambarkan, rekabentuk Masjidil Haram umpama kubu dimana ia mempunyai dinding luar berpintu dan di dalamnya bertiang-tiang dengan kawasan lapang tanpa dinding. Dan, di tengah Masjidil Haram ialah kaabah. Jadi, bayangkan jika bahang di luar adalah 38C, di dalam masih terasa bahangnya walaupun mempunyai kipas.

Sementara menanti waktu zuhur, kami sembahyang sunat dan membaca Al-Quran. Ketika itu, badan saya mulai react pada bahang yang menyengat. Letih mula terasa. Saya cuba tidur, tapi terlalu panas. Seorang rakan, Jue mencadangkan untuk mencuba mengucup Hajarul Aswad. "Orang tak ramai sekarang ni..." rasionalnya. Saya setuju.

Berbekalkan seledang kapas menutupi kepala dan muka, kami berdua melangkah masuk ke bulatan tawaf sambil bertahmid. Memasuki bulatan tawaf, mudah. Namun, melihat asakan di depan Hajarul Aswad, kecut perut juga dibuatnya. "Kita menongkah arus, Jue..." jerit saya pada Jue. Itu tip yang saya baca dari buku Travelog Haji tulisan Prof. Muhamad Kamil. Tangan kanan memegang tangan Jue, saya mula menongkah arus menuju ke Hajarul Aswad. Di depan saya hanya tinggal dua orang sahaja lagi. Di kanan saya, kumpulan orang lelaki menggasak, di kiri orang perempuan menghimpit. Saya dan Jue tak mahu kalah, turut mengasak dan menghimpit. "Mimi, kita patah balik...", teriak Jue. Genggaman kami terlerai tanpa saya sedari. Saya cuba juga mengasak memikirkan hanya dua orang sahaja antara saya dari Hajarul Aswad. Tangan kiri dipanjangkan dengan harapan ada orang akan menarik saya ke depan. Umpama tarian tango, asakan kanan dan kiri menyebabkan badan saya sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Selepas mencuba beberapa kali, hanya jemari kiri saya yang berjaya menyentuh Hajarul Aswad. Buat masa ini, itu sudah cukup untuk saya, "I'll be back..." janji saya pada diri dan Insya Allah, dengan izinNya suatu hari nanti, saya akan kembali semula dan mengucup Hajarul Aswad.

Selepas sembahyang zuhur, kami pulang semula ke hotel. Ketika itu, jam sudah pukul 1.00 tengahari.  Badan sudah semakin lemah. Sementara menanti teman sebilik lunch, saya berbaring di bilik. Perut, alhamdullilah tidak lapar langsung. Tapi mulut sudah tidak mampu dibuka. Kering.

Asar masuk sekitar jam 3.35 petang. Dalam pukul 2.15 petang kami sudah mula melangkah semula ke Masjidil Haram. Sepanjang perjalanan, saya bertasbih dan bertahmid mohon kekuatan untuk terus kekal berpuasa. Di masjid, selepas sembahyang sunat, saya cuba membaca Al-Quran, tapi badan tak mampu untuk duduk. Saya berbaring menutup mata sambil hati sahaja terus bertahmid. Saya berdoa supaya Allah beri kekuatan untuk saya kuat untuk sembahyang Asar dan selamat kembali ke bilik. Selepas Asar, keletihan saya sudah melampau. Sepanjang hidup, tidak pernah saya rasa sebegitu lemah. Saya berjalan sambil mengaut tangan Makcik Noraini kerana khuatir bila-bila masa saya akan rebah. Kaki saya seret perlahan-lahan, mata memandang ke bawah dan mulut terkatup rapat. Hanya hati saya terus bertasbih dan bertahmid mohon kekuatan untuk meneruskan puasa. Sampai di bilik, Makcik Noraini tolong spray badan saya yang dehydrated  (thank you, Makcik. Moga Allah berikan rahmat atas bantuan makcik). Saya beritahu teman sebilik, saya tidak mampu ke masjid untuk maghrib dan hanya akan berjumpa mereka semasa Isyak. Hari itu, saya berbuka di bilik dengan kurma.

Puasa Khamis
Alhamdulilah, pengalaman pertama berpuasa hari Isnin di Tanah Haram berjaya saya harungi. Namun, ia memberi kesan cuak di hati. "Tak mungkin aku mampu berpuasa lagi di sini...", itu rintih hati saya.  Namun, perancangan Allah, hanya Dia yang tahu. Pada hari Rabu, seorang rakan jemaah, Fuzah bercadang untuk puasa sunat Khamis bersama-sama anaknya Nurin 10 tahun. Jue, rakan sebilikpun mahu berpuasa.

Semangat yang hilang untuk berpuasa sunat di Tanah Haram, muncul kembali dan ia hadir bersama ilham... "okey, tapi kita tak boleh duduk di atas, di depan kaabah. Bahangnya panas, nanti kita semua dehydrate. Kita duduk di bawah...". Kebetulan, hari Rabu itu, saya dan Fuzah menemui Babbu Salam iaitu jalan yang dilalui oleh Rasullah untuk ke kaabah. Ia merupakan laluan Saei aras paling bawah. Tempatnya, sejuk seperti dipasang air-con. Itu port yang saya cadangkan kepada Jue. Dan, alhamdullilah, puasa sunat Khamis kami berjalan lancar... tanpa lapar dan dahaga. Kami hanya naik untuk sembahyang dan turun semula untuk membaca Al-Quran dan tafsir.

Pengalaman 2 hari berpuasa di Tanah Haram ini memberi peluang bagi saya:
  • mensyukuri nikmat berbuka
  • merasai pengalaman berpuasa di Tanah Haram
  • bermuhasabah akan kelemahan dan kekuatan diri (tak sangka mampu mengasak ke Hajarul Aswad walaupun berpuasa)
  • mengkagumi kebesaran Ilahi dalam mempermudahkan urusan hambaNya dengan keizinanNya
Alhamdulillah, saya mampu berpuasa Isnin dan Khamis kerana saya belajar dari kelemahan diri dan diberi kekuatan olehNya untuk berpuasa lagi melalui ajakan kawan-kawan. Insya Allah, dengan perancangan dan memahami tahap kesihatan diri, sesiapa sahaja boleh berpuasa sunat di Tanah Haram. Doa saya, semoga kawan-kawan yang membaca entri ini juga diberi kemudahan oleh Allah untuk mengerjakan umrah sekaligus berpuasa di Tanah Haram :)
Bersahur dengan air zam-zam di Tanah Haram






Thursday, May 24, 2012

TRAVELOG UMRAH

Pandangan dari luar tingkap Oman Air
Alhamdullilah, perjalanan mengerjakan umrah dan ziarah Madinah dari 10 Mei sehingga 22 Mei 2012 dipermudahkan. Kapal terbang Oman Air WY 823 selamat mendarat di KLIA pada pukul 9.01 malam, Selasa 22 Mei 2012. Keseronokan menaiki Oman Air semasa pernerbangan balik sama seperti pengalaman pertama menaikinya 10 Mei yang lalu. Layanannya bagus dan makanan superb :)  Namun, hati dan nurani saya sudah tidak sama seperti 10 Mei yang lalu. Saya pulang ke Malaysia padat dengan pelbagai memori, pengalaman, pandangrasa dan jalinan ukhwah dengan ramai rakan.

Semalam, kali pertama sekembali saya ke tanahair, berjalan kaki menuju ke Masjid Ittifaqiyah (masjid berdekatan dengan rumah saya) untuk sembahyang Maghrib, mata memandang ke jalan tar.... saya masih ternampak jubin-jubin putih di dataran Masjidil Haram. Apabila imam, mengangkat takbir, di telinga masih terdengar imam Masjidil haram membaca Al-fatihah. Malah, selepas memberi salam, saya ternanti-nanti, imam mengangkat takbir untuk sembahyang jenazah pula.... kerana itu rutin saya selama 10 hari, 5 kali sehari di Madinah & Mekah. Malah, selepas sehari di Malaysia, saya merindui bahang Mekah... mata ini masih terbayang pintu Kaabah yang saya sering sembahyang sunat tawaf di hadapannya...

Sepanjang di sana (Madinah & Mekah), saya memikirkan cara yang sesuai untuk menceritakan apa yang saya lalui kepada rakan-rakan di blog dan facebook. Apa yang saya dengar & baca sebelum ini mengenai umrah, Madinah dan Mekah ternyata BERBEZA. Mungkin kerana cara masing-masing melihat dan merasai suasana, lokasi dan emosi menyebabkan cerita yang disampaikan kepada rakan-rakan adalah mengikut pandangrasa masing-masing.

Jadi saya akan menulis beberapa siri travelog umrah mengikut topik (bukan kronologi tarikh & masa) yang saya rasakan menarik untuk dikongsi. Antaranya:
  • Mekah, City That Never Sleeps
  • Puasa di Mekah
  • Ustaz Don Mencari Orang Hilang
  • Maklong Mimi
  • Amanah Menjaga Orang Tua
  • Sayu di Puncak Jabal Nur
  • Lihat Kucing dan Jenazah di Mekah
  • Tip untuk Orang Muda Buat Umrah
  • Umrah Bukan Masa Berehat
Ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk menghabiskan siri travelog umrah ini. Saya mengharapkan travelog ini akan membantu saya, khususnya untuk kekal istiqamah dalam ibadat dan amnya untuk rakan-rakan peroleh sedikit insight apa yang saya lalui di sana. Insya Allah, saya mendoakan semoga rakan-rakan juga merasai, melihat dan melalui apa yang TERBAIK yang saya telah rasai, lihat dan lalui.

Subuh di Masjidil Haram

Wednesday, May 9, 2012

Umrah, Satu Jemputan

Penantian 5 bulan akhirnya tiba ke penghujung ... Esok, 10 Mei 2012 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1433 pada pukul 9 pagi saya akan berangkat mengerjakan umrah...

Pelbagai rasa berbaur di hati. Gembira, teruja tapi pada masa yang sama ada rama-rama kecil di perut yang menimbulkan debar... hati berkata-kata, "ini bukan vacation, ini jemputan 'Tuan Rumah' yang Maha Agong untuk aku menjadi insan yang lebih baik dunia dan akhirat". Semakin dekat ke tarikh pergi, semakin hati ini mengingatkan bahawa peluang untuk melangkah kaki ke Rumah Allah bukanlah perkara enteng. Ada kawan yang sudah membuat persiapan ke umrah, tetapi terhalang untuk pergi... ada makcik-makcik yang saya temui sudah berusia 60 tahun... teringin sangat, sangat, sangat nak pergi tapi belum diizinkanNya. Oleh itu, saya menganggap peluang saya untuk pergi mengerjakan umrah adalah satu peluang yang diberi olehNya.

Detik Pertama
FYI, saya tidak pernah teringin untuk mengerjakan umrah. Tidak pernah sama sekali. Sebelum ini, setiap kali jika orang bertanya, saya akan katakan, "saya niat untuk terus mengerjakan haji". Dan, sememangnya itu memang azam saya dari usia 20an... untuk mengerjakan haji sebelum usia saya 40 tahun. Namun, seorang rakan bernama Eva Sophia mengubah persepsi saya terhadap umrah. Pujuknya, "pergilah Mimi, kerjakan umrah, jika ada cukup duit, buat umrah dulu pun tak pe. Seronok sangat mengerjakan umrah". Ketika mendengarnya, saya mendengarnya dengan telinga seorang rakan, tetapi hati saya belum diusik sepenuhnya. Saya berkenalan dengan Eva sekitar bulan Mei 2011.


Tahun 2011 saya gelarkan sebagai 'my lost year'. Semenjak saya mula membantu perniagaan keluarga dari tahun 1998, saya pikul tanggungjawab sebagai anak, kakak dan seorang usahawan untuk membantu keluarga dan orang sekeliling. Banyaknya amanah, cabaran & tanggungjawab yang dipikul selama 13 tahun  rupanya memberi kesan pada jiwa dan emosi tanpa saya sedari. Ironinya, saya hanya sedari pada tahun 2011 apabila saya tidak perlu pikul apa-apa lagi tangungjawab keluarga. Saya rasa really lost. Selama ini, saya buat segala-galanya dengan rasa tanggungjawab... tup, tup tiada lagi tanggungjawab. I feel emotinally, physically and mentally lost. Menjelang Disember 2011, saya nekad. Satu cara untuk mendapatkan semula diri yang hilang adalah untuk go back to basic untuk semua aspek dalam hidup... emosi, fizikal, mental, rohani, kerjaya, kewangan dll.

Kebetulan, di akhir Disember 2011. saya diberi rezeki hasil dari 'cabaran semalam' (panjang ceritanya). Saya teringin hendak melawat kawan/keluarga di Amerika. Rindu apabila sudah lebih 13 tahun saya tidak berjumpa mereka. Saya masih ingat malam itu (18 Disember 2011), saya mengadap ipad hampir 1 jam mencari tiket kapal terbang yang paling murah ke Amerika. Harga tambang pergi balik, purata RM6000. Terdetik di hati "eh, kalau RM6000 cukup pergi umrah ni". Kemudian seperti mentol menyala, "eh, yalah... RM6000 dah cukup pergi umrah". Terus saya capai hp dan call seorang rakan, kak zaharah bertanyakan travel agency apa yang ada. Dipertengahan perbualan antara kami, kak zaharah tiba-tiba mencelah, "Hah.. Jue nak pergi umrah, dia tengah cari kawan". Akhir bulan Disember 2011, saya buat makan-makan di rumah untuk kawan-kawan, saya bertemu Jue dan Shala .... Januari 2012, deposit dibayar.

Subhanallah....

Saya pergi dengan Travel Agency Andalusia. Selalu saya joking dengan mak, "Andalusia (anak dara lanjut usia) pergi umrah dengan Andalusia". Berderai ketawa kami anak beranak. Namun, ingin dijelaskan, terdetik hati pertama saya untuk mengerjakan umrah bukan kerana saya andalusia... hati saya digerakkan untuk mengerjakan umrah kerana saya mahu menjadi lebih baik. Saya tidak tahu perancangan dan percaturan yang Allah sudah reka untuk saya terbuka hati untuk mengerjakan umrah, namun saya sungguh, sungguh, sungguh syukur.

Persediaan
Saya juga syukur kak zaharah menghadiahkan buku, Travelog Haji oleh Prof Muhd Kamil. Itu persediaan pertama saya untuk mengerjakan umrah. Buku itu memberi perspektif penulis buku itu mengenai 'Jemputan Istimewa Allah ke rumahNya'. Sebaknya membaca. Buku itu juga membuatkan saya rasa malu pada Allah, 

"Tak kanlah aku hanya nak berjalan ke masjid berjemaah semasa di Madinah dan Mekah... menangis berjurai-jurai air mata hanya di depan Kaabah .... hanya berbuat baik dengan strangers ketika bermusafir mengerjakan umrah?" 

Justeru, bermula Februari, saya ringankan kaki yang berat ini untuk ke masjid. Masjid Ittifaqiyah hanya terletak anggaran 5 minit perjalanan dari rumah sewa saya. Sebelum ini, saya ke masjid ini pada waktu-waktu tertentu seperti kenduri, berbuka puasa, sambutan Aidilfitri dan Aidil Adha. Teringat, saya joking dengan mak, "kat masjid ni tak de orang muda la mak, orang tua je semua...". Tapi, apabila saya berada dalam kariah Masjid Ittifaqiyah, rupanya ramai juga orang muda yang konsisten datang ke masjid. Kaki yang berat semakin ringan apabila saya cuba konsisten sembahyang berjemaah Maghrib & Isyak di samping mendengar kuliah Maghrib. 3 minggu lepas, saya pertama kali ke kuliah subuh (hanya ada Sabtu & Ahad sahaja). Subha Allah, ramainya orang, lebih ramai dari kuliah maghrib... Paradigma saya terus berubah. 

Saya juga mula mencuba sembahyang tahajud dan dhuha. Susahnya untuk istiqamah tapi saya cuba juga. Saya masih ada rasa malu yang tebal dengan Allah. Saya malu dengan Allah jika saya hanya sembahyang berjemaah, membuat sembahyang tahajud dan dhuha hanya di Madinah & Mekah dan bukannya di masjid rumah saya. Saya benar-benar memohon agar Allah tetapkan istiqamah saya. 

Doa 40 ibu-ibu
Semakin dekat ke tarikh penerbangan, saya mula membuat countdown... 5 Mei, hari terakhir pergi ke kursus umrah, 6 Mei kenduri doa selamat di rumah mak, 7 Mei hari terakhir mengaji, 9 Mei bermusafir ke rumah Jue untuk sama-sama ke KLIA pada 10 Mei. Namun saya tak sangka, semakin hampir saya ke tarikh 10 Mei, semakin deras air mata saya mengalir. Saya bukan sedih meninggalkan ibu bapa kerana saya percaya Allah akan jaga. Tetapi saya sebak menerima banyak blessing dari orang sekeliling...

Saya mula memberitahu umum mengenai hasrat mengerjakan umrah pada 1 Mei yang lalu. Bermula dengan Tuk Wan & Opah di Taiping diikuti dengan kias-kiasan di facebook dan prelude ketika kenduri pada 6 Mei yang lalu. Saya rasa cukup beruntung kerana semasa kenduri yang lalu, pemergiaan saya didoa dan diaminkan oleh 40 ibu. Ditambah pula hari saya mengaji pada 7 Mei juga saya didoakan oleh 2 orang ibu dan kawan-kawan. Syukur. 

Muhasabah
Saya mohon agar Allah tetapkan istiqamah dan khusyuk saya di dalam sembahyang, amal ibadat dan usaha saya sebelum, semasa dan selepas pulang dari umrah. Saya menceritakan semua ini adalah sebagai ingatan untuk diri dan doa saya semoga kawan-kawan yang membaca entry ini juga akan dijemput olehNya ke rumahNya.

Insya Allah, saya akan berkongsi travelog umrah saya sekembali saya nanti. Doa saya semoga ukhwah antara kita berterusan. 

Labbaik Allah Humma Labbaik... malam tadi, beg sudah di pintu


PELAWAT