MENGENAI PENULIS


Mimi Salleh, anak sulung dari lima beradik dibesarkan di Kuala Lumpur. Kedua ibu bapa adalah wartawan dan penulis. Pulang dari Amerika Syarikat pada tahun 1996 dalam jurusan Pengurusan Perniagaan, beliau terus diberi tanggungjawab menguruskan Jabatan Hal Ehwal Korporat di syarikat milik keluarga. Pada masa yang sama, beliau turut diberi peluang menulis di ruangan majalah yang dinamakan Pandangrasa.

Pada tahun 2001, beliau memperolehi Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia. Setahun sebelum itu, adik lelakinya berkahwin. Ketika itu usia beliau baru mencecah 26 tahun. Walaupun beliau tidak pernah dihantui dengan stigma kahwin lewat, namun beliau sedar satu anjakan pada diri secara holistik perlu dibuat.

Malangnya, tiada satupun buku dalam bahasa Melayu mengenai topik orang bujang terutama strategi menjadi diri yang terbaik ada dijual. Melalui pembacaan buku-buku dari penulis barat, beliau mengambil masa tiga tahun untuk berubah. Pada tahun 2003, apabila beberapa rakan memuji perubahan diri yang ternyata mempunyai aura lebih positif, beliau bercadang untuk berkongsi pengalaman dan strategi tersebut dengan rakan-rakan yang lain. Apatah lagi, buku yang dibaca selama ini didapati tidak berapa sesuai dengan norma kehidupan Timur dan ajaran Islam.

Mengambil masa setahun menulis buku yang pertama, akhirnya pada tahun 2004, buku Bujang OK: Peluang Menjadi Yang Terbaik & Mendapat Yang Terbaik berjaya diterbitkan dengan modal sendiri. Setahun kemudian, bukunya yang kedua, Bujang OK Sure Kaya diterbitkan diikuti buku Rahsia Bujang OK Senang Dapat Kerja pada tahun 2006, juga diterbitkan dengan modal sendiri.

Terkini, beliau mengurus dan mengendalikan syarikatnya BIG STEP COMMUNICATION. Logo Bujang OK telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) pada tahun 2005.


Logo rasmi Bujang OK telah didaftarkan sebagai harta intelek pada tahun 2005

PELAWAT