Monday, October 17, 2011

CINTA TAK BERSYARAT

Semenjak Julai banyak sahaja hal yang perlu diuruskan, dari pindah rumah sehinggalah menyelesaikan kerja. Alhamdullilah, hal-hal tersebut beransur diselesaikan. Semenjak menulis blog, saya jarang (amat jarang sekali) meletakkan gambar peribadi. Cuma kali ini, saya ingin berkongsi beberapa keping gambar dan satu cerita 'cinta'. Ini bukan cerita cinta biasa. Ini kisah cinta tak bersyarat antara 'aku, dia dan mereka' (hehehe... macam tajuk novel).

FYI, kami adik-beradik bukanlah fanatik kucing. Cuma kebetulan, dari kecil, rumah saya sentiasa ada seekor kucing yang bersilih ganti jika seekor lagi mati atau hilang. Dua tahun lalu, kami kematian Cici, kucing yang kami bela lebih 10 tahun.Cici hanyalah kucing liar (kebetulan berbulu kembang) yang datang masuk ke dapur 9 tahun yang lalu. Jadi, saya tak menyangka, selepas kematian Cici betapa sunyinya rumah tanpa seekor kucing. My sisters pun selalu sebut-sebut, "sunyilah rumah tak de kucing". Namun, rumah kami sunyi tidak lama.

Saya selalu bermesyuarat di Bandar Tasik Selatan. Pertama kali saya ternampaknya, ia sedang tidur di tempat letak kereta. Kali kedua, saya ternampaknya adalah ketika mahu keluar dari pejabat klien selang 2 minggu kemudian. Ia, seekor anak kucing berusia anggaran lima bulan. Entah kenapa, hati saya terus terdetik, "comelnya...". Ingin dijelaskan, anak kucing ni, pada hakikatnya, jauh sekali dari comel. Mukanya penuh kurap dengan badan yang tidak terurus. Tapi, entah kenapa rasa cinta berputik pada anak kucing terbiar ini. Mungkin, saya tersentuh melihat aksi comelnya duduk mendongak melihat orang keluar masuk dari pejabat itu.

Malam itu, saya memberitahu adik-adik perempuan saya. "Kak long ternampak seekor anak kucing. Comel, tapi comot. Kita pergi ambik, nak? " seloroh saya tergelak kecil. Hampir 3 hari saya berseloroh mengenai anak kucing itu. Hari Jumaat, adik perempuan saya beritahu, "esok, kita pergi ambik anak kucing tu,". Terperanjat tapi hati berbunga-bunga.

Disitulah bermula kisah cinta kami dengan Shiro (bermakna Putih dalam bahasa Jepun), anak kucing yang kami kutip dari Bandar Tasik Selatan. Rupa-rupanya disebalik muka hodoh penuh kurap, Shiro sememangnya anak kucing yang comel. Selepas mukanya dirawat dan badannya dicuci, Shiro berubah wajah. Aktif sungguh.Selang 3 bulan, 'kecomelan' Shiro telah di'meow-meow'kan oleh kucing-kucing di sekitar kawasan perumahan saya. Dan, beberapa bulan kemudian, Shiro beranak 5 ekor anak yang comel iaitu Mickey, Brownie, Zorro, Spot dan Baby. Riuh-rendah rumah kami apabila mereka berempat (Mickey dan Brownie mati akhir tahun 2010) berkejar-kejar turun-naik tangga.

Dipendekkan cerita, awal tahun 2011, kami dapati Shiro dan 2 anaknya Spot dan Baby, masing-masing bunting. Kami sekeluarga garu kepala, jika setiap ekor beranak lima, kami akan ada 16 ekor kucing pada satu masa. Sedih tapi keputusan terbaik ialah menyerahkan Shiro kepada orang lain. Beberapa minggu kemudian, Shiro beranak lima ekor.

Ramadan lalu, saya dan adik-adik perempuan berpindah berasingan dari ibu bapa (hanya seberang jalan besar sahaja). Mak & abah jaga Zorro, kami membawa Spot & Baby. Ketika itu, Spot sudahpun beranak 3 ekor, sementara si Baby menunggu hari untuk beranak. Dijadikan cerita, hari kami berpindah, Ira terjumpa seekor anak kucing di longkang depan rumah. Kesian, usianya mungkin 2 bulan dan belum putus susu. Kami tak sampai hati nak tinggalkannya. 3 hari kemudian, Baby beranak 4 ekor. Disebabkan jarak usia anak-anak kucing (termasuk Fifi, anak kucing yang dikutip) hanya selang 2 ke 3 minggu, maka Spot dan Baby sepakat bergilir-gilir menjaga dan menyusukan setiap anak kucing (jadi ibu susu).

Bayangkan dalam masa 1 bulan sahaja, kami ada 10 ekor kucing. Namun, seperti yang diberitahu diawal tadi, ini kisah cinta tak bersyarat antara 'aku, dia (Shiro) dan mereka (anak serta cucu Shiro)'.Apa yang saya belajar dari kisah 'percintaan' ini...
  • sabar - mengajar kucing untuk potty train, perlu kesabaran. Seorang kawan beritahu, cats are creatures of routine.
  • sayang tak berbelah-bagi - anak-anak kucing (anak Baby) semua sakit mata yang perlu diberi ubat setiap hari & diberi ubat ikut mulut.
  •  Perlu disiplin - jika anak kucing berak merata, kami akan jentik telinga sebagai tanda disiplin. Marah-marah sayang ;)
  • kasih tidak mengenal saudara - seronok apabila melihat si anak-anak kucing (termasuk Fifi) bergilir-gilir menyusu dengan Spot dan Baby. Malah, Spot & Baby juga menyayangi setiap anak (termasuk anak angkat mereka, Fifi) sama rata.
Malam pertama Shiro di rumah. Muka penuh kurap & kusut-masai

Shiro, selepas sebulan. Ketika ini, 'boyfriends' dah mula mengiau depan pintu.

Shiro, minggu pertama selepas beranak lima. Dia angkut semua anak, tidur atas katil abah. Hish... berani sungguh.

Kesian Shiro. Penat menjaga anak sampai kusut masai. Anak-anak dah berusia sebulan.
Kenangan Mickey & Brownie semasa berusia 3 minggu.

Kenangan terakhir Mickey & Brownie bersama. Mereka mati tidak lama kemudian. Mickey jatuh bangunan, Brownie kena langgar.


Eee.... tak malu. Dah besar menetek dengan mak. (dari : kiri Zorro (hitam), Spot, Shiro dan Baby

Baby & Spot (ada spot hitam di badan) sedang menyusu anak

Tak kenal anak siapa

Spot sedang menyusukan Fifi (paling besar), Amoi (anak Spot) dan Mickey Jr. (anak Baby)

Tuesday, June 21, 2011

BERTUAHNYA...


Saya ingin berkongsi satu cerita. Sedikit panjang, tetapi ada kaitan dengan rezeki yang Allah rancang.

Pada 27 Mei yang lalu berlangsung satu seminar antarabangsa di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. Alhamdulillah, rezeki saya memperolehi tiket percuma ke seminar itu. Tiket itu saya perolehi dari seorang rakan yang berpesan untuk telefonnya semula di pejabat tiga hari sebelum seminar berlangsung.

Katanya, "masa itu, baru tahu jika ada tiket atau tidak".

Tiga hari lagi sebelum seminar berlangsung, si kawan telefon dan meminta saya mengambil tiket tersebut di pejabatnya. Harga asal menghadiri seminar tiga hari itu adalah dalam lingkungan RM3000. Saya suka bukan kepalang. Alhamdullilah, rezeki. 

Dijadikan cerita, pagi 27 Mei itu, seorang wartawan mahu menemubual saya mengenai satu isu yang sedang hangat diperkatakan. Detik hati saya, "tidak mengapalah, selepas tengahari saya bertolak ke Sunway". Justeru, sebaik tamat temubual, saya terus menaiki komuter ke Subang Jaya dan seterusnya teksi ke Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. Perjalanan memakan masa lebih satu jam.

Setibanya di sana, saya duduk di bahagian belakang dewan. Para penceramah semuanya penceramah luar negara. Tajuk-tajuk ceramah mengujakan. Semasa rehat, saya terserempak dengan rakan sekuliah yang saya panggil Kak Nazmah. Sekocoh-kocoh Kak Nazmah menarik tangan saya, lalu bertanya,

"Mimi dah ambil nombor cabutan bertuah?"

Saya tidak tahupun adanya cabutan bertuah. Kami bertiga (Saya, Kak Nazmah dan anaknya) berjaya menemui  seorang pegawai dan diberi satu keratan nombor setiap seorang. Nombor kami berturut dimulai dengan anak Kak Nazmah 04475, saya 04476 dan Kak Nazmah sendiri ialah 04477.

Kebetulan, di muka pintu dewan, saya terserempak pula dengan seorang rakan yang saya baru sahaja berkenalan seminggu sebelum itu. Namanya Mira.

"Mimi, awak dah ambil buku percuma. Sesi pagi tadi, semua peserta dapat buku percuma senaskah seorang," beritahu Mira. 

Sekali lagi, kami mendapatkan pegawai yang bertugas.

Sesi seterusnya adalah sesi terakhir untuk hari itu. Sebaik habis ceramah tersebut kira-kira pukul 6 petang, pengacara majlis terus menghangatkan dewan dengan pengumuman nombor cabutan bertuah.

"Are you readyyyy?"

"Ready!" sahutan kuat bergema dari para peserta yang teruja menunggu nombor mereka dipanggil.

Saya tersenyum memandang Kak Nazmah. 

"0..." pengacara majlis menyebut nombor yang pertama.

"4..." kedengaran suara teruja para peserta mengulang sebut nombor yang sama pada keratan mereka.

"4..." Kak Nazmah memegang erat tangan saya.

"7..." Kak Nazmah terjerit kecil. Semakin kuat tangan saya dicengkam. 

"6..."

Saya seperti dengar, tidak dengar, nombor terakhir yang disebut apabila Kak Nazmah mula menjerit nama saya. Saya cukup terkejut diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah. Sengih saya cukup lebar kerana dua perkara. Pertamanya, seumur hidup saya, inilah pertama kali saya memenangi cabutan bertuah. Kedua, hadiah yang dimenangi ialah ipad 2! Sengih saya terasa seperti terbeku diwajah. Saya panjatkan syukur berulang kali.

Petang itu, orang tidak putus-putus mengucapkan tahniah.

"Oh, Mimi you are so lucky...".

"Bertuahnya badan...".

Saya panjatkan kesyukuran atas pemberian itu. Namun, pada masa yang sama, saya  melihat apa yang berlaku BUKAN sebagai being lucky atau bertuah. Saya bukannya bergoyang kaki di rumah dan tiba-tiba ipad2 jatuh ke riba. Saya berusaha untuk mendapatkan rezeki yang Allah sudah atur:
  • saya bertanya dan pergi mendapatkan tiket percuma seminar dari pejabat rakan
  • saya menaiki komuter dan teksi ke lokasi seminar yang mengambil masa lebih satu jam perjalanan
  • saya bersama-sama Kak Nazmah pergi mendapatkan pegawai bertugas untuk memperolehi nombor cabutan bertuah
  • saya bertemu dengan Mira yang saya temui seminggu sebelumnya di satu acara lain. Melalui Mira, saya diberitahu mengenai pemberian buku percuma.
  • saya tunggu ke akhir seminar untuk mendengar ceramah dan kebetulan diumumkan nombor cabutan bertuah. 
Alangkah mudahnya jika setiap orang, Allah tunjukkan rezeki masing-masing. Namun, disinilah letaknya kemanisan kejayaan, kesabaran dan ketaqwaan. Pengalaman ini benar-benar menginsafkan bahawa kita harus berusaha untuk mendapatkan rezeki yang Allah sudah janjikan kepada setiap hambaNya.

Monday, May 23, 2011

ADAKAH ANDA YANG KAMI CARI?

BERMINAT MENJADI SEBAHAGIAN DARI KREW BUJANG OK?

Kami mencari:

  • Orang bujang yang serius ingin live life to the fullest
  • Orang bujang yang berusaha berubah menjadi dirinya yang terbaik
  • Orang bujang yang suka berkawan
  • Orang bujang yang suka aktiviti berkumpulan
  • Orang bujang yang berkarisma
  • Orang bujang yang mempunyai nilai kepimpinan
  • Usia 18 tahun ke atas, tidak kira agama atau bangsa

Sila email ke bujang.ok@gmail.com
(Nota: ini adalah kerja-kerja sukarela untuk pembangunan ummah)

Wednesday, April 27, 2011

LEWAT KAHWIN JANGAN DICERCA

 Pada tahun 2004, semasa saya menulis buku pertama mengenai orang bujang, perangkaan menunjukkan pada tahun 2000 daripada 23 juta rakyat Malaysia, 13.2 juta belum pernah berkahwin (anggaran 7 juta lelaki bujang dan 6 juta wanita bujang). Saya cuba mendapatkan statistik terkini, tetapi belum ada. Pastinya statistik itu semakin meningkat apabila penduduk Malaysia meningkat (kini penduduk Malaysia melebihi 28 juta orang).

Rata-rata apabila membincangkan isu lewat kahwin...

... jari ditunding kepada wanita bujang:
  • "Awak memilih sangat"
  • "Awak dah tinggi sangat jawatan/pendidikan, mana lelaki nak"

... jari juga ditunding kepada lelaki bujang:
  • "Awak tak de karisma sebagai seorang lelaki"
  • "Awak tak de harta, mana perempuan nak"

Betul ke, semua wanita bujang memilih dan semua lelaki bujang tiada karisma? Membuat andaian sebegitu, bermakna kita generalize dan bersangka buruk dengan semua wanita dan lelaki bujang. Bukan semua wanita bujang memilih dan bukan semua lelaki bujang tiada karisma. Ini soal jodoh.

Namun, tidak dinafikan ada di antara orang bujang ini meletakkan piawaian yang terlampau tinggi. Ini disebabkan dua faktor iaitu ego dan ambivalen. Amat rugilah mana-mana orang bujang yang meletakkan piawaian pasangan pilihan yang terlampau tinggi. Akibat dari pilihan ini, mereka sebenarnya akan terlepas pandang ramai potensi pasangan. Rugi, rugi.

Disebalik orang bujang yang mempunyai piawaian terlampau tinggi ini, ramai lagi sebenarnya orang bujang yang bersederhana dalam memilih. Malah, mereka mempunyai ciri-ciri seorang suami atau isteri yang berkarisma, cantik/hensem, baik budi bahasa, taat pada keluarga dan paling penting sayang pada Tuhan. Cuma, jodoh mereka sahaja yang lambat. Menariknya, atas keyakinan akan janji Tuhan, "... perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik" (an-Nur: 26), mereka ini tidak berputus asa, malah mereka berazam untuk mengubah diri mereka menjadi lebih baik.

Sebagai masyarakat, kita seharusnya membantu dan bukannya mencerca orang yang masih bujang. Jika tidak mampu membantu secara fizikal, sekurangnya bantulah mendoakan mereka (orang bujang) ini bertemu dengan jodoh yang terbaik.

Malah, sebagai manusia yang mempunyai kelemahan, keyakinan si bujang pada Tuhan dalam menunjukkan jalan yang lurus lagi diredhai amatlah penting. Percayalah, "Allah tidak akan membebani hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan hambaNya" (Al-Baqarah :286). Justeru, keyakinan yang sama seharusnya diberikan dalam menghadapi ujian lewat jodoh. Anggaplah lewat jodoh sekadar ujian yang akan menaikkan tahap keimanan pada yang Esa.

Doa saya semoga Allah berikan yang terbaik kepada mereka yang benar-benar ingin merubah diri mereka menjadi yang terbaik. Percayalah pada janji Tuhan. Insya Allah, doa anda untuk bertemu pasangan pilihan  akan dimakbulkan. Amin.

Tuesday, April 19, 2011

8 ASPEK KEBAHAGIAAN HIDUP




Semenjak 11 tahun yang lalu, misi hidup saya adalah untuk menjadi the best I can be and live life to the fullest. Pertama kali saya menulis misi tersebut, saya sendiri tidak jelas bagaimana caranya untuk jadi the best mahupun untuk live life to the fullest. Namun, benarlah seperti yang dikatakan oleh Jack Canfield dalam bukunya iaitu, "If A is where you are now and B, is where you want to go, then it is just a straight line. Don't ask how to get there because the how will come when you know where you want to be". Malah, beberapa buku seperti The Secret, Millionaire Mindset, Awaken the Giant Within dan banyak lagi turut menekan betapa penting mempunyai misi dan visi dalam hidup.

Alhamdullilah, dalam tempoh 11 tahun ini, daripada pembacaan dan berkawan dengan individu-individu hebat, saya dapati, bagi menjadi diri yang terbaik, saya perlu seimbang dalam 8 aspek penting dalam hidup. Aspek ini merangkumi emosi, fizikal, spiritual, intelektual, kewangan, keluargakarier dan komuniti. Berikut dijelaskan setiap aspek (tanpa keutamaan). Ingin dimaklumkan penjelasan ini hanya berdasarkan pembacaan dan ilmu yang dikutip dari beberapa individu hebat yang saya temui. Saya akur, penjelasan ini ada kekurangannya.

Emosi
Selama ini, saya sering meletakkan diri terutama emosi  di tempat kedua. Saya beranggapan adalah selfish jika saya mendahului emosi sendiri berbanding orang lain. Namun, semakin dewasa, saya dapati, emosi diri sama penting untuk dijaga. Ia memberi impak pada penyerapan ilmu, ketahanan fizikal dan elemen-elemen lain dalam hidup. Pada masa yang sama, ilmu yang diserap mampu memantap dan mematangkan emosi semakin usia meningkat.

Fizikal
Ramai yang mengukur kebahagiaan dari simbol-simbol seperti aset yang dimiliki dan pada 'besar gelaknya' seseorang. Namun, betapa malangnya pada mereka yang mempunyai aset yang banyak dan 'gelak yang besar' tetapi kesihatan tidak pernah dijaga. Pemakanan, senaman dan pemantauan kesihatan amat penting untuk menikmati hidup yang cemerlang.

Spiritual
Tiga minggu lepas di satu kursus, kami ditanya perbezaan antara believe dan faith. Saya termanggu seketika untuk mencari perbezaan. Menurut penceramah itu, believe adalah apabila seseorang itu ditunjukkan bukti, barulah dia akan percaya manakala faith adalah tahap kepercayaan walaupun tanpa bukti, mereka percaya ia wujud atau sesuatu itu akan berlaku. Menyerap kata-kata itu, keyakinan kita pada janji Tuhan mengenai orang-orang yang sabar dan orang-orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan adalah kunci untuk ketenangan hidup di dunia dan keabadian hidup di akhirat.

Intelektual,
Intelektual bukan bermakna seseorang itu harus mempunyai sijil menggunung atau bercakap menggunakan bahasa tinggi. Meningkatkan kemahiran, membaca buku, berbual bicara dengan individu hebat dan belajar dari pengalaman diri sendiri adalah antara cara untuk meningkatkan intelektual.

Kewangan 
Jika ada yang berkata, "aku tidak mahu kaya, aku mahu hidup sederhana", dia hanya membohongi dirinya. Hakikatnya, hidup di dunia memerlukan wang. Malah, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berusaha untuk menjadi kaya untuk membantu lebih ramai rakan muslim di mana jua mereka beada. Justeru, mulalah melabur. Lagi muda lagi bagus.

Keluarga
Keseimbangan hidup juga harus meliputi keluarga. Mereka adalah kelompok terdekat yang perlu disayangi dan menyayangi kita.

Karier 
Kita juga harus memberi yang terbaik pada karier. Sebaik-baiknya, tugas yang dilaksanakan itu bukan berpaksi pada imbuhan semata-mata. Memang betul kita bekerja untuk mendapatkan duit, namun jangan jadikan duit sebagai satu-satunya tujuan kita bekerja. Kita mahu lakukan tugas itu dengan amanah dan sehabis baik. Barulah berkat duit yang kita dapat.

Komuniti
Hubungan baik dengan Allah harus seiring dengan hubungan baik sesama manusia. Ramai antara kita yang 'amat sibuk' bekerja sehingga terlupa bahawa kita hidup dalam komuniti masyarakat. Mereka adalah jiran, rakan sekerja, orang yang kita temui semasa menunggu bas, pembekal, rakan-rakan dalam facebook/twitter dan sebagainya.


Sekali pandang seperti "banyaknyaaa..." untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup. Namun, apabila saya temui individu-individu hebat, kebanyakkan mereka memiliki kelapan-lapan aspek ini dalam hidup mereka. Justeru, jika saya ingin mencapai misi becoming the best I can be and live life to the fullest, saya juga perlu seimbang dalam kelapan-lapan aspek ini. Saya menyeru rakan-rakan sekalian untuk sama-sama be best and live life to the fullest. Berubah menjadi diri kita yang terbaik dan menikmati hidup yang cemerlang, tiada ruginya. Malah, lebih manis dan berkat hidup apabila kita mempunyai kelapan-lapan aspek ini dalam hidup. Yuk! Kita mulakan hari ini :)

Thursday, February 3, 2011

STRATEGI KURUS UNTUK SI LURUS

"Boleh ke you lari , Mimi?"

Itu pertanyaan seorang teman tahun lepas apabila diberitahu saya akan berlari maraton. Alhamdullilah, saya sudah buktikan saya boleh menamatkan my first 10km Run. Saya faham, ramai yang melihat badan saya, ramai yang menggelengkan kepala. Namun, selepas memasuki larian 10km pertama tahun lepas, saya dapati sesiapa sahaja pada apa sahaja saiz boleh melakukannya. Tahun ini, saya nekad untuk memasuki dua pertandingan maraton (10km setiap satu) dan berharap untuk membuat larian 21km (half maraton) yang pertama pada tahun 2012. Berdasarkan pengalaman tahun lepas, dua hari sakit badan selepas berlari, saya kini berlatih di gim dengan momentum intense workout sekurang-kurangnya sejam sehari .

Bersenam adalah satu hobi yang memberi impak secara langsung pada kesihatan, kecantikan dan disiplin diri. Tetapi, berapa ramaikah yang sanggup bersenam setiap hari dan menjadikannya sebahagian dari rutin? Ramai yang lebih rela mengambil short cut untuk kurus dan cantik dengan mengambil pelbagai jenis ubat dari bersenam.

Saya bukan pakar kesihatan apatah lagi jurulatih seperti Kevin Zahri, tetapi dari pembacaan dan menonton siri Biggest Loser hanya dua perkara sahaja yang boleh memastikan kita kekal slim dan sihat iaitu bersenam dan menjaga pemakanan. Sekali lagi, berapa ramaikah yang sanggup bersenam setiap hari dan menjadikannya sebahagian dari rutin?

Minggu lepas, saya berjumpa doktor berbincang mengenai langkah memastikan badan saya tidak tercedera semasa berlatih. Sesuatu yang menarik mengenai badan manusia ialah ia menyesuaikan mekanik dan fisio badan sejajar dengan usia. Kata beliau, "jika kita terus makan kuantiti yang sama seperti tahun lepas tanpa bersenam, berat badan kita akan naik 2kg setiap tahun,". Bayangkan berat badan saya di usia 40, jika saya tidak bersenam semenjak usia menginjak 30 tahun.... aarghhh ekstra 20 kg!

Mempunyai berat yang stabil  di usia 40 tahun dan kelak di usia-usia emas memudahkan kita beribadat. Tua itu pasti, tapi jika kita dapat perlahankan proses penuaan, alangkah mudahnya kita mencapai matlamat untuk ke rumah Allah, kelak. Tiada formula ajaib untuk memperlahankan proses penuaan melainkan bersenam dan menjaga pemakanan.

Bagi si Lurus (Dummy) seperti saya yang tidak pernah kisah apa orang nak cakap mengenai saiz badan, berikut ialah beberapa strategi senaman dan pemakanan yang saya lakukan:
  • saya belajar elakkan makan apa sahaja yang double fry. Contohnya french fries dan makanan sejuk beku. Setiap makanan itu sudah digoreng sebelum dibekukan dan digoreng sekali lagi sebelum dihidang. 
  • saya belajar untuk memahami kalori setiap makanan. Misalnya, kalori sekeping roti canai bersamaan dengan tiga kali ganda semangkuk kecil nasi (baiklah makan nasi kalau macam itu).
  • saya belajar untuk minum banyak air kosong (nasib baiklah saya berlatih di gim yang memaksa saya minum banyak air) 
  •  saya belajar mendisiplinkan diri untuk bersenam setiap hari. Dari pembacaan, saya dapati, jika kita bersenam tiga kali seminggu, itu hanya untuk kekalkan berat badan yang sedia ada. Jika mahu kurangkan berat badan, perlu bersenam setiap hari.
  • saya baru tahu betapa pentingnya tidur untuk memulihkan fisio.
  • saya belajar untuk menikmati dalam kesederhanaan setiap makanan yang dimakan.
  • mencari kawan-kawan yang mempunyai minat bersenam yang sama (masih mencari...)
  • Beri kesempatan badan anda untuk turun berat secara perlahan-lahan. Bayangkan, jika berat badan kita naik 2kg setahun, adalah mustahil untuk menurunkan 20kg yang dikumpul selama 10 tahun dalam tempoh kurang setahun.
  • Don't rush dan jangan sesekali guna alasan nak kurus sebab nak kahwin. Matlamat sihat (atau untuk kurus) perlu faktor yang konkrit bukannya superficial. Barulah kekal untuk jangka masa lama.
Terus-terang, saya teruja menantikan usia 40. Marilah kita sama-sama growing old gracefully. Semoga generasi akan datang adalah generasi yang sihat badan, minda, emosi dan roh.

MIMI SALLEH

Thursday, January 13, 2011

LELAKI RAJIN ITU SEKSI



Baru sahaja membaca satu artikel bertajuk Menutup Aurat Itu Seksi di laman Iluvislam. Amat menarik membaca perspektif seorang lelaki yang menganggap wanita yang menutup rapi tubuhnya dan hanya menunjukkannya kepada yang berhak sebagai seksi. Malah, buku-buku yang ditulis oleh penulis lelaki barat juga, walaupun tidak secara langsung, tetapi dalam erti kata lain juga bersetuju bahawa wanita that turn them on adalah wanita yang menjaga peribadi dan maruah mereka. Syabas untuk 'wanita-wanita seksi' ini.

Bagaimana pula pendapat wanita mengenai keseksian seorang lelaki? Dimana letaknya seksi seorang lelaki?

  • Adakah pada otot dadanya yang bidang?
  • Adakah pada bahunya yang lebar?
  • Adakah pada warna kulitnya?
  • Adakah pada ketinggiannya?
  • Adakah pada tebal kumisnya?
Walaupun ada perumpamaan lelaki idaman wanita sebagai tall, dark and handsome, hakikatnya mata wanita dijadikan Tuhan menilai keseksian seorang lelaki melepasi tarikan fizikal. Secara fitrahnya, kejadian setiap female spesis (termasuk binatang) adalah mencari pasangan yang mempunyai tubuh badan yang sihat (untuk baka), keupayaan untuk mencari makanan dan kemampuan untuk menjaga keluarga.

Disebalik pesanan Rasullah s.a.w akan empat jenis pasangan terbaik (harta, keturunan, cantik dan beragama) seharusnya kita menilai pesanan itu dari sudut yang realistik bukan romantik. Zaman ini, amat sukar kita terutama para wanita menilai secara fizikal sama ada seorang lelaki itu menepati kriteri pasangan terbaik  berdasarkan hadis Rasullah s.a.w itu.

Namun, pada pendapat saya, sifat rajin adalah satu piawaian yang mampu membantu para wanita mencari pasangan seperti pesanan Rasullah s.a.w:
  • Harta - rajin bekerja (tidak kira latar belakang pendidikan) 
  • Keturunan - rajin berusaha memperbaiki diri (menambah ilmu dan tidak terlibat dengan anasir negatif)
  • Cantik - rajin menjaga kesihatan diri seperti bersenam dan tidak mengambil toksid (termasuk tidak merokok)
  • Beragama - rajin ke masjid, majlis ilmu dan menjalankan kerja-kerja kebajikan
Mungkin ada kaum Adam diluar sana yang beranggapan lelaki rajin adalah nerd, geek atau skema. Tetapi percayalah, dimata 'wanita-wanita seksi', jika anda menjadi seorang lelaki yang rajin dalam segala hal, anda akan dilihat sebagai seorang lelaki yang amat seksi.

Dikesempatan ini, saya mewakili seluruh wanita bujang di Malaysia menyeru supaya lebih ramai lelaki bujang berusaha untuk jadi lebih rajin. Apabila anda rajin, anda tidak rugi ;)

MIMI SALLEH

PELAWAT