Wednesday, May 30, 2012

TRAVELOG 3 -HATIKU SAYU DI PUNCAK JABAL NUR

Selepas habis semua ziarah luar di Mekah, Haji Rodzuan ketua kumpulan bertanya kepada ahli-ahli rombongan umrah (10-22 Mei) apa lagi yang dihajati tapi belum tercapai. Ada yang berkata nak kucup Hajarul Aswad, nak ambil gambar di dalam Masjidil Haram beramai-ramai dan ada yang mahu mendaki Jabal Nur melihat Gua Hira'. Alhamdullilah, di akhir pengembaraan umrah, hasrat itu dapat dicapai oleh kebanyakkan ahli rombongan.

Setelah pulang ke Malaysia, baru saya tahu, betapa beruntungnya saya diizinkanNya untuk mendaki Jabal Nur dan sekaligus sujud di dalam Gua Hira'. Tidak ramai jemaah yang mampu berbuat demikian dan ia tidak termasuk di dalam pakej mana-mana agensi perlancongan umrah.

Hari itu, kami (12 dewasa dan 2 kanak-kanak) berkumpul di lobi hotel selepas sembahayang subuh dalam pukul 6.15 pagi dan menyewa sebuah van (tahan je di tepi jalan, banyak van sewa). Kami membayar 5 Riyal seorang (kanak-kanak free). Dalam 15 minit kami tiba di perkampungan di kaki Jabal Nur. Sepatutnya, van tersebut hantar kami sehingga betul-betul di kaki Jabal Nur... tapi pemandu minta kami turun di perkampungan anggaran 500 meter dari kaki Jabal Nur..., mungkin van tak de brek, entahlah.

Maka, kami pun mula menapak. Ya Rabb... itu belum mendaki lagi Jabal Nur, kami sudah mengah dan peluh mengalir deras. Bayangkan jalan menuju ke Jabal Nur landai dalam sudut 45 darjah... tanpa sebarang pemegang, kami menapak dengan menggunakan kudrat yang ada. Makcik Halimah dan Makcik Habsah surrender... mereka akan menunggu sahaja di sebuah kedai di perkampungan itu.

Rumah-rumah di perkampungan itu adalah tipikal rumah di Mekah, bentuk berkotak berdinding simen putih. Kami sempat ditegur oleh budak-budak yang bermain di laman. Di sepanjang pendakian sebelum sampai di kaki Jabal Nur, banyak kedai menjual souvenier. Kami berhenti seketika membeli jus... Saya dan Fuzah maintain di belakang sekali :p

Memulakan pendakian di kaki Jabal Nur, saya melafazkan Bismillah. Mendongak ke atas, tersergam Jabal Nur dan terdetik di hati, "I can do it!". Di hati tersemat keyakinan bahawa latihan larian (walaupun dah lama tak ke gym) dan pengalaman memanjat Bukit Tabur di Ampang akan membantu serba sedikit pendakian itu. Oh no.... it was tougher that it looks. Pendakian yang landai ditambah dengan bahang matahari yang semakin meninggi menyebabkan pendakian dibuat perlahan. Alhamdullilah dan syukur kepada hamba-hamba Allah yang menyediakan tangga (ala kadar).

Di kiri kanan bukit, banyak sungguh botol-botol kosong. Walaupun kesal akan pemandangan Jabal Nur yang dicemarkan dengan botol-botol dan tulisan-tulisan "Polan si Polan was here..." namun, itu hakikatnya. Saya melihat jam... "sudah 30 minit pendakian". Ya Allah, belum sampai separuh pun pendakian....

Ketika itu, saya dan Fuzah berselisih dengan seorang lelaki tua yang sedikit bongkok. Jika tidak salah, dia sama-sama memulakan pendakian dari kaki Jabal Nur bersama-sama kami tadi. Saya dan Fuzah saling berpandangan "kuat sungguh pakcik tu..." Saya berikan air jus yang sudah saya teguk separuh kepada Pakcik itu. Semoga bertambah bertenaga beliau mendaki, harap saya.

Mengenangkan lutut yang sudah menggeletar dan badan yang semakin letih mendaki, saya terbayangkan bagaimana Rasullah s.a.w mendaki Jabal Nur ini... ketika itu tiada tangga, hanya batu-batu besar... tiada air jus untuk menambah tenaga, hanya ada air zam-zam... hati saya semakin sayu. Saya juga teringat cerita Ustaz Heri (mutawwif) bagaimana Siti Khadijah r.a yang sudah tua turut memanjat Jabal Nur untuk menghantar makanan kepada suaminya... Aduh! Syahdunya.

Selepas hampir 50 minit mendaki, akhirnya, saya dan Fuzah tiba di puncak Jabal Nur (yang lain sudah tiba 10 minit lebih awal). Di puncak Jabal Nur sudah ada tempat duduk berbumbung dan orang menjual air dan jajan. Dari atas, saya ditunjukkan Gua Hira', gua yang menjadi sejarah awal turunnya wahyu dan dimasyurkan Muhamad sebagai Rasul terakhir.

Apabila kawan-kawan mengajak turun ke Gua Hira'... saya geleng kepala "Tak pe la...". Hakikatnya, saya mahu sembunyikan hati yang sayu, dari pengetahuan kawan-kawan. Cukuplah, cukuplah sayu hati saya membayangkan baginda mendaki sehingga ke puncak Jabal Nur.... Saya tak sanggup lagi membayangkan perjalanan Rasullah memasuki Gua Hira'.

Namun, kehendak Allah, tiada siapa duga....

Selepas 20 minit, semua ahli pendakian sudah memasuki Gua Hira', malah Nurin 10 tahun dan Ain 8 tahun juga berjaya masuk. Mereka riuh bercerita pengalaman mereka. Haji Rodzuan terus ke saya, "Hah! Mimi giliran awak sekarang... dah sampai kat atas ni, mesti masuk ke Gua Hira'".

Dengan hati yang berat, saya melangkah... Ketika itu, saya kawal hati supaya kuat. Namun, saya tidak menyangka laluan yang saya akan lalui menyebabkan hati saya bertambah sebak membayangkan ini laluan yang dilalui oleh Rasullah s.a.w ...

Dari puncak Jabal Nur, kita perlu turun sedikit ke bawah, anggaran setingkat bangunan memasuki satu rekahan. Rekahan itu hanya muat-muat seorang sahaja melaluinya. Jika lelaki itu besar, dia perlu usaha untuk meloloskan kepala diikuti oleh badan. Setiap orang yang melalui rekahan ini perlu berusaha meloloskan diri secara  memanjat ataupun mengesot. Rekahan celah batu besar ini berukuran 15 kaki panjang. Keluar dari rekahan itu, barulah ternampak lubang gua Hira'.

Malu untuk memberitahu, tetapi sepanjang berusaha meloloskan diri dari celah rekahan itu, airmata sudah mengalir. Sebaik keluar dari rekahan dan ternampak Gua Hira, airmata yang mengalir berselang-seli dengan sendu. Betapa sunyinya Rasullah s.a.w mendaki Jabal Nur, melalui rekahan dan berkhalwat di Gua Hira' seorang diri.... semata-mata kerana memikirkan keadaan masyarakat di Mekah.

Gua Hira' kecil sahaja, hanya boleh muat 2 orang, di muka pintu gua. Ketika saya tiba di hadapan Gua Hira' sudah ada anggaran 25 orang menunggu giliran untuk masuk sembahyang di dalam. Wanita ada dalam anggaran 10 orang... disitu masih berasak-asak seperti di hadapan Hajarul Aswad cuma lebih teratur... saya perlu menunggu giliran sekitar 15 minit.... Memandangkan saya tiada wuduk, saya hanya akan sujud.

Meletakkan dahi ke lantai Gua Hira' suasana yang bising, sunyi seketika (Jue pun beritahu perasaan sunyi yang sama). Saya sujud sambil membaca Al-fatihah dan Surah Al-Ikhlas.

Saya syukur dapat merasai sujud di Gua Hira' dan dengan setiap air mata saya yang mengalir di puncak Jabal Nur... dengan setiap sendu ... dan dengan setiap dengup jantung saya mendaki dan menuruni Jabal Nur, saya semakin menyayangi Rasullah s.a.w dan Khadijah r.a.

Doa saya semoga, Allah kekalkan istiqamah saya dalam ibadat dan semoga kawan-kawan yang membaca entri ini juga dapat menjejakkan kaki di Jabal Nur. 


sewa van 5 riyal seorang (total 10 riyal pergi balik)
menapak dari perkampungan... fuiihh mencabar
budak-budak bersorak bila kami lalu
sudah 3 per 4 perjalanan untuk ke puncak Jabal Nur
lelaki tua ini (hujung kanan) sama-sama naik dengan kami
berehat seketika di puncak Jabal Nur
gunung sama didaki, lurah sama dituruni :)

masing-masing beratur untuk sujud atau sembahyang di Gua Hira'

No comments:

Post a Comment

PELAWAT