Pelbagai rasa berbaur di hati. Gembira, teruja tapi pada masa yang sama ada rama-rama kecil di perut yang menimbulkan debar... hati berkata-kata, "ini bukan vacation, ini jemputan 'Tuan Rumah' yang Maha Agong untuk aku menjadi insan yang lebih baik dunia dan akhirat". Semakin dekat ke tarikh pergi, semakin hati ini mengingatkan bahawa peluang untuk melangkah kaki ke Rumah Allah bukanlah perkara enteng. Ada kawan yang sudah membuat persiapan ke umrah, tetapi terhalang untuk pergi... ada makcik-makcik yang saya temui sudah berusia 60 tahun... teringin sangat, sangat, sangat nak pergi tapi belum diizinkanNya. Oleh itu, saya menganggap peluang saya untuk pergi mengerjakan umrah adalah satu peluang yang diberi olehNya.
Detik Pertama
FYI, saya tidak pernah teringin untuk mengerjakan umrah. Tidak pernah sama sekali. Sebelum ini, setiap kali jika orang bertanya, saya akan katakan, "saya niat untuk terus mengerjakan haji". Dan, sememangnya itu memang azam saya dari usia 20an... untuk mengerjakan haji sebelum usia saya 40 tahun. Namun, seorang rakan bernama Eva Sophia mengubah persepsi saya terhadap umrah. Pujuknya, "pergilah Mimi, kerjakan umrah, jika ada cukup duit, buat umrah dulu pun tak pe. Seronok sangat mengerjakan umrah". Ketika mendengarnya, saya mendengarnya dengan telinga seorang rakan, tetapi hati saya belum diusik sepenuhnya. Saya berkenalan dengan Eva sekitar bulan Mei 2011.
Tahun 2011 saya gelarkan sebagai 'my lost year'. Semenjak saya mula membantu perniagaan keluarga dari tahun 1998, saya pikul tanggungjawab sebagai anak, kakak dan seorang usahawan untuk membantu keluarga dan orang sekeliling. Banyaknya amanah, cabaran & tanggungjawab yang dipikul selama 13 tahun rupanya memberi kesan pada jiwa dan emosi tanpa saya sedari. Ironinya, saya hanya sedari pada tahun 2011 apabila saya tidak perlu pikul apa-apa lagi tangungjawab keluarga. Saya rasa really lost. Selama ini, saya buat segala-galanya dengan rasa tanggungjawab... tup, tup tiada lagi tanggungjawab. I feel emotinally, physically and mentally lost. Menjelang Disember 2011, saya nekad. Satu cara untuk mendapatkan semula diri yang hilang adalah untuk go back to basic untuk semua aspek dalam hidup... emosi, fizikal, mental, rohani, kerjaya, kewangan dll.
Kebetulan, di akhir Disember 2011. saya diberi rezeki hasil dari 'cabaran semalam' (panjang ceritanya). Saya teringin hendak melawat kawan/keluarga di Amerika. Rindu apabila sudah lebih 13 tahun saya tidak berjumpa mereka. Saya masih ingat malam itu (18 Disember 2011), saya mengadap ipad hampir 1 jam mencari tiket kapal terbang yang paling murah ke Amerika. Harga tambang pergi balik, purata RM6000. Terdetik di hati "eh, kalau RM6000 cukup pergi umrah ni". Kemudian seperti mentol menyala, "eh, yalah... RM6000 dah cukup pergi umrah". Terus saya capai hp dan call seorang rakan, kak zaharah bertanyakan travel agency apa yang ada. Dipertengahan perbualan antara kami, kak zaharah tiba-tiba mencelah, "Hah.. Jue nak pergi umrah, dia tengah cari kawan". Akhir bulan Disember 2011, saya buat makan-makan di rumah untuk kawan-kawan, saya bertemu Jue dan Shala .... Januari 2012, deposit dibayar.
Subhanallah....
Saya pergi dengan Travel Agency Andalusia. Selalu saya joking dengan mak, "Andalusia (anak dara lanjut usia) pergi umrah dengan Andalusia". Berderai ketawa kami anak beranak. Namun, ingin dijelaskan, terdetik hati pertama saya untuk mengerjakan umrah bukan kerana saya andalusia... hati saya digerakkan untuk mengerjakan umrah kerana saya mahu menjadi lebih baik. Saya tidak tahu perancangan dan percaturan yang Allah sudah reka untuk saya terbuka hati untuk mengerjakan umrah, namun saya sungguh, sungguh, sungguh syukur.
Persediaan
Saya juga syukur kak zaharah menghadiahkan buku, Travelog Haji oleh Prof Muhd Kamil. Itu persediaan pertama saya untuk mengerjakan umrah. Buku itu memberi perspektif penulis buku itu mengenai 'Jemputan Istimewa Allah ke rumahNya'. Sebaknya membaca. Buku itu juga membuatkan saya rasa malu pada Allah,
"Tak kanlah aku hanya nak berjalan ke masjid berjemaah semasa di Madinah dan Mekah... menangis berjurai-jurai air mata hanya di depan Kaabah .... hanya berbuat baik dengan strangers ketika bermusafir mengerjakan umrah?"
Justeru, bermula Februari, saya ringankan kaki yang berat ini untuk ke masjid. Masjid Ittifaqiyah hanya terletak anggaran 5 minit perjalanan dari rumah sewa saya. Sebelum ini, saya ke masjid ini pada waktu-waktu tertentu seperti kenduri, berbuka puasa, sambutan Aidilfitri dan Aidil Adha. Teringat, saya joking dengan mak, "kat masjid ni tak de orang muda la mak, orang tua je semua...". Tapi, apabila saya berada dalam kariah Masjid Ittifaqiyah, rupanya ramai juga orang muda yang konsisten datang ke masjid. Kaki yang berat semakin ringan apabila saya cuba konsisten sembahyang berjemaah Maghrib & Isyak di samping mendengar kuliah Maghrib. 3 minggu lepas, saya pertama kali ke kuliah subuh (hanya ada Sabtu & Ahad sahaja). Subha Allah, ramainya orang, lebih ramai dari kuliah maghrib... Paradigma saya terus berubah.
Saya juga mula mencuba sembahyang tahajud dan dhuha. Susahnya untuk istiqamah tapi saya cuba juga. Saya masih ada rasa malu yang tebal dengan Allah. Saya malu dengan Allah jika saya hanya sembahyang berjemaah, membuat sembahyang tahajud dan dhuha hanya di Madinah & Mekah dan bukannya di masjid rumah saya. Saya benar-benar memohon agar Allah tetapkan istiqamah saya.
Doa 40 ibu-ibu
Semakin dekat ke tarikh penerbangan, saya mula membuat countdown... 5 Mei, hari terakhir pergi ke kursus umrah, 6 Mei kenduri doa selamat di rumah mak, 7 Mei hari terakhir mengaji, 9 Mei bermusafir ke rumah Jue untuk sama-sama ke KLIA pada 10 Mei. Namun saya tak sangka, semakin hampir saya ke tarikh 10 Mei, semakin deras air mata saya mengalir. Saya bukan sedih meninggalkan ibu bapa kerana saya percaya Allah akan jaga. Tetapi saya sebak menerima banyak blessing dari orang sekeliling...
Saya mula memberitahu umum mengenai hasrat mengerjakan umrah pada 1 Mei yang lalu. Bermula dengan Tuk Wan & Opah di Taiping diikuti dengan kias-kiasan di facebook dan prelude ketika kenduri pada 6 Mei yang lalu. Saya rasa cukup beruntung kerana semasa kenduri yang lalu, pemergiaan saya didoa dan diaminkan oleh 40 ibu. Ditambah pula hari saya mengaji pada 7 Mei juga saya didoakan oleh 2 orang ibu dan kawan-kawan. Syukur.
Muhasabah
Saya mohon agar Allah tetapkan istiqamah dan khusyuk saya di dalam sembahyang, amal ibadat dan usaha saya sebelum, semasa dan selepas pulang dari umrah. Saya
menceritakan semua ini adalah sebagai ingatan untuk diri dan doa saya
semoga kawan-kawan yang membaca entry ini juga akan dijemput olehNya ke
rumahNya.
Insya Allah, saya akan berkongsi travelog umrah saya sekembali saya nanti. Doa saya semoga ukhwah antara kita berterusan.
Labbaik Allah Humma Labbaik... malam tadi, beg sudah di pintu |
Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. Trip menunaikan umrah secara percuma.
ReplyDelete