Kenangan Baby dan Spot besama anak masing-masing |
Nak dijadikan cerita (hehehe... cerita dalam blog), sepanjang saya melihat gambar-gambar orang balik Mekah, tidak ada satupun gambar kucing yang diambil. Malah, semua yang balik dari Mekah akan menyebut, "banyak sungguh burung merpati...". Jadi, adalah logik jika soalan kucing di Mekah menimbulkan tanda tanya di benak saya, "Tiada kucing di Madinah dan Mekah, ke?"
Malah, beberapa hari sebelum saya mengerjakan umrah, soalan yang sama saya lontarkan kepada beberapa rakan... "hairan, tak pernah orang bercerita mengenai kucing di Madinah dan Mekah...". Namun, soalan hanya sekadar soalan dan bukannya obsesi. Saya ada mendengar orang berkata, jangan minta yang bukan-bukan ketika di Mekah dan Madinah, nanti 'dapat tunai je'... jadi beberapa minggu sebelum mengerjakan umrah saya sentiasa mendoakan supaya saya dipertemukan dengan orang yang baik-baik dan perkara yang baik-baik sahaja..
Alhamdulillah, bagi saya pengalaman 12 hari pengembaraan umrah saya KLIA-Oman-Jeddah-Madinah-Mekah-Jeddah-Oman-KLIA, Allah beri saya yang terbaik. Ini termasuklah, diizinkan untuk melihat sebegitu banyak kucing dan diberi keinsafan apabila dilalukan di depan saya jenazah yang telah disembahyangkan.
Kucing pertama yang ditemui dalam pendakian Jabal Nur |
Banyaknya Kucing
2 hari di Madinah, saya terserempak dengan 3 ekor kucing dan sempat bermain dengan seekor daripadanya di kaki lima di luar Masjid Nabawi. Mungkin kerana kucing itu kucing liar, dia tak pandai bermain mesra. Mainnya kasar, habis tangan kiri saya berbekas cakar.Kemudian, dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah, kami berhenti makan dan sembahyang di Wadi Yaman (makan nasi mandi). Masya Allah, disitu juga banyak kucing.
Terjumpa ibu dan anak kucing ini di puncak Jabal Nur |
Di Mekah, subhanallah... setiap hari saya melihat kucing. Malah, paling menakjubkan, saya menemui 3 ekor kucing dalam ekspedisi pendakian Jabal Nur.... seekor di pertengahan jalan menuju ke puncak dan 2 ekor di puncak Jabal Nur (ibu dan anak).
Wallahualam... saya percaya kucing-kucing memang banyak berkeliaran di Madinah dan Mekah, tetapi disebabkan saya sudah membuka mata dan minda saya untuk melihat kucing maka itu satu kegembiraan untuk saya apabila menemuinya (orang lain mungkin tidak pernah terfikirpun mengenai isu kucing, ada ataupun tiada di Madinah & Mekah).
Jenazah Lalu di Depan Mata
Di Malaysia, saya boleh bilang berapa kali saya sembahyang jenazah. Di Madinah dan Mekah, setiap usai sembahyang fardu pastinya selepas itu sembahyang jenazah. Seorang rakan mengaji saya, Kak Kiah ada memberitahu bahawa jenazah yang di sembahyangkan di Madinah & Mekah dibaluti dengan kain hijau, coklat dan putih bergantung kepada jantina dan usia.
Mengimbas kembali, pada hari Rabu 16 Mei, saya dan Fuzah menghabiskan masa seharian bersama di Masjidil Haram. Kami mencari Babbu Salam, rumah kelahiran Rasullah dan melaksanakan tawaf sunat bersama. Selepas salah satu sembahyang jenazah, saya tersebut, "tak de cara ke untuk kita melihat jenazah yang disembahyangkan tu?". Fuzah geleng sebab katanya, orang ramai sangat. Okey lah... saya pun bukanlah mengharap sangat.
Keesokkan harinya, saya dan Jue berpuasa sunat hari Khamis. Strategi kami, duduk beriktikad di basement Masjidil Haram (kawasan saie aras bawah) dan hanya naik ke atas untuk sembahyang sahaja. Ingin dijelaskan, insiden ini berlaku sebaik kami selesai sembahyang zuhur dan solat jenazah.
Kami dalam perjalanan dari tempat sembahyang mengadap kaabah menuju ke laluan Babbu Salam apabila kami dengar bunyi hiruk pikuk dari sebelah kiri kami. Bunyinya, seolah-olah seperti polis trafik yang bergegas menghentikan laluan orang ramai jika ada pembesar negara akan melalui jalan tersebut... begitulah keadaan bunyi hiruk pikuk yang lama kelamaan semakin dekat dengan saya dan Jue.
Dalam tempoh kurang 30 saat, lalu laju di depan kami 4 jenazah yang dibawa pergi. Seorang bertutup dengan kain hijau, seorang dengan kain coklat dan 2 lagi hanya ditutupi kain putih. Saya sempat mengangkat tangan memberi salam kepada arwah-arwah yang lalu di depan saya.
Wallahualam... mungkin hanya kebetulan atau mungkin betullah apa yang orang cakap mengenai 'dapat tunai' setiap hajat ketika di Madinah & Mekah.
Apa yang saya pelajari:
- bermuhasabah atas setiap insiden, pasti ada hikmah
- Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
No comments:
Post a Comment