Monday, May 28, 2012

TRAVELOG 2 - MENJAGA ORANG TUA DI MEKAH, SATU AMANAH

Beberapa minggu sebelum berangkat mengerjakan umrah, doa saya yang utama adalah untuk dipermudahkan urusan umrah dari mula sehingga akhir. Saya juga memohon untuk ditemukan dengan perkara-perkara yang terbaik sahaja.

Beberapa hari sebelum pergi, hati berbaur antara gembira, teruja dan gusar. Terdetik di hati, "agaknya macam ni la perasaan bakal pengantin... suka sebab ini pengalaman terindah tapi gusar sebab ia hadir bersama tanggungjawab...". (hehehe... sori guna metafor pengantin, tapi itu je yang dapat digambarkan). Malah, semasa mencium tangan mak abah pada malam 9 Mei (sebelum berangkat ke rumah Jue di Salak Tinggi), perasaan yang sama semakin dirasai.

Di KLIA, kami (saya, Jue dan Shala) bertemu dengan mahram yang diatur iaitu Haji Rodzuan. Kami bertiga memang dari awal sepakat untuk tinggal sebilik dan mengharapkan mahram yang sama.  Selepas taklimat kumpulan, Faizah, pegawai Andalusia memperkenalkan kami dengan Makcik Noraini. Dia teman sebilik kami (sebilik empat orang). Memandangkan, ini kali pertama Makcik Noraini ke luar negara sendirian anak-anaknya cukup risau. Berkali-kali diulang, "tolong jaga emak kami, ye...". Kami bertiga angguk dan memberi jaminan akan jaga emak mereka sepanjang perjalanan itu.

Shala, Jue dan Macik Noraini, di dalam Masjid Nabawi
Maka, di dalam flight Oman Air pergi dan balik juga sepanjang acara ziarah di Madinah dan di Mekah, kami mengatur susun duduk.... Shala dengan Jue, saya dengan Makcik Noraini. Malah, kami berusaha juga untuk berjalan dalam atur yang sama... semasa tawaf, berjalan ke masjidil haram mahupun jika membeli-belah. Cuma di hari-hari terakhir sahaja aturan berubah sama ada disebabkan saya berpuasa atau Jue ingin menghabiskan lebih masa di masjid membaca Al-Quran. Jika itu berlaku Shala akan bersama Makcik Noraini.

Namun, beberapa kebetulan yang berlaku sebelum ini tiba-tiba saya sedari ketika saya bersama Fuzah (pada Rabu, 16 Mei. Hari itu merupakan hari ketiga kami di Mekah. ). Usai sembahyang Isyak, di laluan Saie aras bawah, saya dan Fuzah menaiki tangga untuk ke dataran kaabah bagi melakukan tawaf sunat. Di pertengahan tangga, kami terserempak dengan seorang wanita tua sedang menuruni tangga. Hasrat kami terhenti seketika.... kami bantu wanita tua itu menuruni tangga dengan selamat. Selamat turun, dia mengucapkan sesuatu dalam bahasa ibundanya (tak tahu bangsa apa).

"Masuk yang ini, dah ada beberapa orang tua yang saya bantu..." luah saya tanpa berfikir kepada Fuzah. Apabila difikirkan semula, "a'ah yelah...". Saya senaraikan insiden tersebut:

1. semasa di masjid Jaranah, bermiqat untuk mengerjakan tawaf ke 2
Ketika itu, kami baru menziarahi Jabal Rahmah dan menuju ke Masjid Jaranah untuk bermiqat. Saya teringat seorang makcik yang saya temui di Madinah 2 hari yang lalu. Entah kenapa, saya teringat kepada beliau sedangkan kami hanya bersembang sekadar 5-10 minit sahaja. Setiba di masjid Jaranah, kami terus mengambil wuduk. Keluar dari tempat wuduk, saya terlihat seseorang yang familiar. Eh, Makcik dari Madinah... Saya menegur beliau. Rupanya beliau tak tahu di mana tempat solat. Saya menemani beliau turun tangga sehingga ke tempat solat (Makcik Noraini ada bersama). Selepas solat, saya menghantarnya ke bas (berlainan group). 

2. semasa tawaf sunat usai sembahyang subuh
Saya dan Jue sudah memasuki pusingan ke 6 apabila kami terserempak dengan 3 wanita tua dari Malaysia (agaknya) sedang mengelilingi kaabah. Kesian sungguh. Makcik paling tua, memegang telekung si kawan. Kecil sahaja badannya dengan sedikit bongkok.... kerana asakan dari jemaah lain yang sedang tawaf, kadang-kala pegangan si makcik terlepas daripada kain telekung si kawan. Spontan, saya mengambil tempat di sebelah kiri makcik-makcik bertiga, Jue di sebelah kanan. Saya dan Jue mengepung makcik bertiga itu dari tolakan orang terutama ketika di laluan Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Apabila kami hampir ke pusingan ke 7, saya bertanya, "Makcik ada berapa pusingan lagi?" ... "ada satu lagi..." jawapnya perlahan. Saya pandang Jue, Jue beri signal, "kita teman makcik sampai habis...". Alhamdullilah kami teman makcik bertiga sehingga selesai.

3. Selepas tawaf sunat, sebelum zuhur
Waktu itu cukup panas, saya baru habis tawaf sunat berjalan menuju ke dalam Masjidil Haram. Sudah hampir pertengahan tangga apabila ternampak, sorang wanita tua di anak tangga pertama baru turun dari kerusi roda. Menggeletar lutut beliau. Saya papah sehingga ke atas.

4. Selepas isyak, hendak mengerjakan tawaf  sunat (insiden bersama Fuzah)

5. Di Jabal Nur, menuju Gua Hira' 
Kebetulan, saya dan Fuzah pendaki yang paling 'amatur'. Kami dibelakang sekali. Ada seorang tua yang sama-sama naik dengan kami. Sudah hampir bongkok 3. Subhanallah... semangat beliau untuk naik sehingga ke atas cukup kuat. Saya hanya bantu berikan air jus dan tunjukkan jalan ke Gua Hira' apabila dia sudah sampai ke puncak.

6. Usai tawaf wida' (hanya buat 6 pusingan dulu sebelum sambung selepas zuhur)
Saya baru hendak naik tangga apabila terserempak dengan wanita tua yang juga mahu naik. Dipapah naik. Anaknya menunggu dengan kerusi roda di tangga atas.

7. Makcik Noraini
Seperti diceritakan di awal, Makcik Noraini adalah amanah yang diberikan oleh anak-anaknya untuk dijaga. Alhamdulillah, sehingga hari terakhir, kami penuhi amanah itu. Kegembiraan pulang ke tanahair semakin terasa. Dalam flight Oman Air yang menuju ke Malaysia, terdetik di hati "nak kenalkan adik-adik dengan kawan-kawan umrah masa di KLIA nanti...". Namun, perancangan Allah, hanya Dia yang tahu... Beg Makcik Noraini hilang!

Kapal terbang mendarat jam pukul 9.01 malam. Kami tiba di tempat tuntutan bagasi jam 9.30 malam. Kami (saya, jue dan shala) hanya confirm kehilangan beg apabila conveyor berhenti dan beg sandang andalusia kepunyaan Makcik Noraini masih tiada. Ketika itu, kawan-kawan mula mengucapkan selamat tinggal dan keluar dari kawasan itu. Saya lihat jam sudah pukul 9.45 malam. Kami bergegas ke tempat untuk membuat laporan. Jue dan shala juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Hanya tinggal saya dan Makcik Noraini. Akhirnya, report dibuat dan kami keluar lebih kurang jam 10.30 malam. Malam itu, tiada rezeki untuk saya memperkenalkan adik-adik saya (Surya dan Ira) yang datang menjemput kepada 'keluarga-keluarga baru' saya sepanjang 12 hari itu. Hanya Makcik Noraini dan keluarga yang menemui adik-adik saya.

Pengalaman membantu orang tua sepanjang saya mengerjakan umrah memberi keinsafan bahawa:
  • ukhwah fillah tidak mengenal usia, bangsa dan tidak mengharapkan balasan
  • Allah mengetahui apa yang terbaik untuk diri
  • saya telah melihat blessing is being disguised in so many forms
Saya mendoakan semoga Allah terus memberi kecantikan hati kepada saya untuk terus membantu orang di sekeliling. Kita hidup hanya sekali. Hubungan kita dengan manusia juga menentukan hubungan kita dengan Allah. 

Bersama Makcik Noraini, di luar Masjid Nabawi

2 comments:

  1. ERMM...MAK CIK NORAINI TU ADA ANAK LELAKI BUJANG TAK.. HEHEHEHHEHE..

    ReplyDelete

PELAWAT