Sunday, May 27, 2012

TRAVELOG 1 - PUASA DI MEKAH

Sebulan sebelum mengerjakan umrah, terdetik di hati betapa beruntungnya jika dapat membuat umrah ketika bulan Ramadan. Bagi hamba yang banyak dosa seperti saya, pahala dan keberkatan dengan gandaan yang tak terkira apabila berpuasa di bulan Ramadan di Mekah amat mengujakan. Tapi, saya sedar, jemputan Allah untuk saya mengerjakan umrah di bulan Jamadil Akhir juga satu peluang yang harus saya syukuri. Ketika itu, saya berniat untuk berpuasa sekurang-kurangnya satu hari di Mekah, bagi merasai bagaimana rasanya berpuasa di Tanah Haram.

Bersahur
(Dipendekkan cerita, nanti entri lain akan cerita detail mengenai perjalanan) Selepas 2 hari di Madinah, kami bertolak ke Mekah pada hari Ahad, 13 Mei. Berhenti sebentar untuk bermiqat di Bir Ali (niat umrah di sini) sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki bas yang mengambil masa anggaran 5 jam. Memasuki bandar Mekah, hati sudah sebak. Melihat jam besar di Hilton (di kakinya adalah Masjidil Haram), hati sudah berdebar. Kami check in di Thawart Monsia Hotel pada pukul 10 malam. Bagi memastikan semua jemaah (terutama wanita) dapat mengerjakan umrah fardhu, maka mutawif minta kami turun segera ke lobi pada pukul 11 malam.

Kami berjalan kaki agak lama kerana hotel terletak anggaran 700meter -1km dari Masjidil Haram. Setiap langkah, debaran dan sebak semakin menguit rasa. Di sebalik runtuhan bangunan di kiri dan kanan jalan (pembinaan banyak sungguh di sekitar masjid), susuk bangunan Masjidil Haram mula kelihatan. Air mata mula bergenang. Selepas taklimat ringkas oleh Mutawif di dataran Masjidil Haram, kami mula melangkah masuk melalui pintu King Aziz (pintu 1)...

Subhanallah... seperti merindui kekasih yang lama tak ketemu, air mata yang bergenang berlimpah menderu sebaik melihat kaabah. Lima bulan lamanya saya menonton Makkah Live di Youtube... menonton orang tawaf mengelilingi kaabah usai beratus kali, rupa-rupanya it was not the same. You have to be there to really, really, really feel it. The 1st feeling melihat ratusan jemaah mengerjakan tawaf mengelilingi kaabah and to actually see kaabah in front of you adalah satu perasaan yang sukar dijelaskan...

Alhamdulilah umrah fardhu berjaya saya habiskan dalam masa 3 jam. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Saya ada bertanya mutawif jika mahu berpuasa, imsaknya sebelum pukul berapa.. "pukul 3.30 pagi" katanya. Beberapa jemaah wanita berpakat untuk tidur di masjid sahaja memandangkan subuh akan masuk pukul 4.15 pagi. Berbatalkan lengan, saya tidur. Alhamdullilah, tutup mata je, saya terus tidur dan dikejutkan semula pada pukul 3.15 pagi.

Jue (kiri) dan shala, sedang menikmati nasi mandi.
Di bilik hotel, sebenarnya, ada nasi mandi berlauk ikan dan ayam, baki makanan kami semasa dalam perjalanan. Cadangnya itu akan menjadi makanan sahur nanti...rupa-rupanya, itu bukan rezeki saya. Saya hanya bersahur dengan dua cawan air zam-zam di Masjidil Haram.

Selepas subuh, kami kembali ke hotel. Hehehe... kami sesat dalam perjalanan pulang sebab tersalah masuk lorong... alhamdulilah, nasib baik muka memang muka tak malu bertanya, seorang Pak Arab tunjukkan jalan :)

Letih Melampau
Balik di hotel, saya masih bertenaga. Selepas settle in, kami bersiap awal untuk ke masjid semula kerana Zuhur masuk pukul 12.15 tengari. Ketika itu matahari sudah meninggi dan bahang terasa perit di pipi. Teman sebilik mencadangkan, "kita duduk di kawasan masjid yang berdekatan dengan kaabah...". Ingin digambarkan, rekabentuk Masjidil Haram umpama kubu dimana ia mempunyai dinding luar berpintu dan di dalamnya bertiang-tiang dengan kawasan lapang tanpa dinding. Dan, di tengah Masjidil Haram ialah kaabah. Jadi, bayangkan jika bahang di luar adalah 38C, di dalam masih terasa bahangnya walaupun mempunyai kipas.

Sementara menanti waktu zuhur, kami sembahyang sunat dan membaca Al-Quran. Ketika itu, badan saya mulai react pada bahang yang menyengat. Letih mula terasa. Saya cuba tidur, tapi terlalu panas. Seorang rakan, Jue mencadangkan untuk mencuba mengucup Hajarul Aswad. "Orang tak ramai sekarang ni..." rasionalnya. Saya setuju.

Berbekalkan seledang kapas menutupi kepala dan muka, kami berdua melangkah masuk ke bulatan tawaf sambil bertahmid. Memasuki bulatan tawaf, mudah. Namun, melihat asakan di depan Hajarul Aswad, kecut perut juga dibuatnya. "Kita menongkah arus, Jue..." jerit saya pada Jue. Itu tip yang saya baca dari buku Travelog Haji tulisan Prof. Muhamad Kamil. Tangan kanan memegang tangan Jue, saya mula menongkah arus menuju ke Hajarul Aswad. Di depan saya hanya tinggal dua orang sahaja lagi. Di kanan saya, kumpulan orang lelaki menggasak, di kiri orang perempuan menghimpit. Saya dan Jue tak mahu kalah, turut mengasak dan menghimpit. "Mimi, kita patah balik...", teriak Jue. Genggaman kami terlerai tanpa saya sedari. Saya cuba juga mengasak memikirkan hanya dua orang sahaja antara saya dari Hajarul Aswad. Tangan kiri dipanjangkan dengan harapan ada orang akan menarik saya ke depan. Umpama tarian tango, asakan kanan dan kiri menyebabkan badan saya sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Selepas mencuba beberapa kali, hanya jemari kiri saya yang berjaya menyentuh Hajarul Aswad. Buat masa ini, itu sudah cukup untuk saya, "I'll be back..." janji saya pada diri dan Insya Allah, dengan izinNya suatu hari nanti, saya akan kembali semula dan mengucup Hajarul Aswad.

Selepas sembahyang zuhur, kami pulang semula ke hotel. Ketika itu, jam sudah pukul 1.00 tengahari.  Badan sudah semakin lemah. Sementara menanti teman sebilik lunch, saya berbaring di bilik. Perut, alhamdullilah tidak lapar langsung. Tapi mulut sudah tidak mampu dibuka. Kering.

Asar masuk sekitar jam 3.35 petang. Dalam pukul 2.15 petang kami sudah mula melangkah semula ke Masjidil Haram. Sepanjang perjalanan, saya bertasbih dan bertahmid mohon kekuatan untuk terus kekal berpuasa. Di masjid, selepas sembahyang sunat, saya cuba membaca Al-Quran, tapi badan tak mampu untuk duduk. Saya berbaring menutup mata sambil hati sahaja terus bertahmid. Saya berdoa supaya Allah beri kekuatan untuk saya kuat untuk sembahyang Asar dan selamat kembali ke bilik. Selepas Asar, keletihan saya sudah melampau. Sepanjang hidup, tidak pernah saya rasa sebegitu lemah. Saya berjalan sambil mengaut tangan Makcik Noraini kerana khuatir bila-bila masa saya akan rebah. Kaki saya seret perlahan-lahan, mata memandang ke bawah dan mulut terkatup rapat. Hanya hati saya terus bertasbih dan bertahmid mohon kekuatan untuk meneruskan puasa. Sampai di bilik, Makcik Noraini tolong spray badan saya yang dehydrated  (thank you, Makcik. Moga Allah berikan rahmat atas bantuan makcik). Saya beritahu teman sebilik, saya tidak mampu ke masjid untuk maghrib dan hanya akan berjumpa mereka semasa Isyak. Hari itu, saya berbuka di bilik dengan kurma.

Puasa Khamis
Alhamdulilah, pengalaman pertama berpuasa hari Isnin di Tanah Haram berjaya saya harungi. Namun, ia memberi kesan cuak di hati. "Tak mungkin aku mampu berpuasa lagi di sini...", itu rintih hati saya.  Namun, perancangan Allah, hanya Dia yang tahu. Pada hari Rabu, seorang rakan jemaah, Fuzah bercadang untuk puasa sunat Khamis bersama-sama anaknya Nurin 10 tahun. Jue, rakan sebilikpun mahu berpuasa.

Semangat yang hilang untuk berpuasa sunat di Tanah Haram, muncul kembali dan ia hadir bersama ilham... "okey, tapi kita tak boleh duduk di atas, di depan kaabah. Bahangnya panas, nanti kita semua dehydrate. Kita duduk di bawah...". Kebetulan, hari Rabu itu, saya dan Fuzah menemui Babbu Salam iaitu jalan yang dilalui oleh Rasullah untuk ke kaabah. Ia merupakan laluan Saei aras paling bawah. Tempatnya, sejuk seperti dipasang air-con. Itu port yang saya cadangkan kepada Jue. Dan, alhamdullilah, puasa sunat Khamis kami berjalan lancar... tanpa lapar dan dahaga. Kami hanya naik untuk sembahyang dan turun semula untuk membaca Al-Quran dan tafsir.

Pengalaman 2 hari berpuasa di Tanah Haram ini memberi peluang bagi saya:
  • mensyukuri nikmat berbuka
  • merasai pengalaman berpuasa di Tanah Haram
  • bermuhasabah akan kelemahan dan kekuatan diri (tak sangka mampu mengasak ke Hajarul Aswad walaupun berpuasa)
  • mengkagumi kebesaran Ilahi dalam mempermudahkan urusan hambaNya dengan keizinanNya
Alhamdulillah, saya mampu berpuasa Isnin dan Khamis kerana saya belajar dari kelemahan diri dan diberi kekuatan olehNya untuk berpuasa lagi melalui ajakan kawan-kawan. Insya Allah, dengan perancangan dan memahami tahap kesihatan diri, sesiapa sahaja boleh berpuasa sunat di Tanah Haram. Doa saya, semoga kawan-kawan yang membaca entri ini juga diberi kemudahan oleh Allah untuk mengerjakan umrah sekaligus berpuasa di Tanah Haram :)
Bersahur dengan air zam-zam di Tanah Haram






4 comments:

  1. Assalamualaikum wr. wb dan salam perkenalan.
    Alhamdulilah syukur saya menemui blog anda, sepanjang saya tercari-cari cerita pengalaman UMRAH dan berpuasa di Tanah Haram. Sedikit sebanyak entry ini dapat membantu saya untuk saya mengerjakan UMRAH di bulan Ramadhan ini, saya akan berangkat dari Malaysia pada 9hb Ogos, 2012. berlepas jam 15.00 petang.

    Seronok saya membaca entry anda. Doakan saya semuga saya di permudahkan segala urusan saya di sana dan dapat menyempurnakan ibadah Umrah saya.

    Wsalam.

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH PUAN YANGBERCERITA DAN TAHNIAH YANG AKAN MENGERJAKAN UMRAH DI BULAN RAMADAN 2015 SEMOGA DI RAHMATI ALLAH SWT....AMIN....

    ReplyDelete
  3. Menarik... jemput ke blog saya 🤗

    ReplyDelete
  4. Aaamin.. terima kasih share true stories yg memberi kebaikan kpd kita semua.

    ReplyDelete

PELAWAT